Sistem Bretton Woods – USD Bersandar Pada Emas? Tidak Lagi!

3,574

Adakah mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) bersandarkan pada emas? Jawapannya, sudah tidak lagi!

Jadi, US dolar bersandarkan kepada apa? Ikuti penerangan ini untuk ketahui jawapannya.

Gold Standard

Sebelum Perang Dunia II, sistem kewangan dunia adalah bersandarkan kepada nilai emas. Justeru, setiap negara boleh mencetak wang mereka berdasarkan jumlah emas yang mereka miliki.

Semuanya berubah apabila perang tercetus, di mana negara-negara yang terlibat telah menggadaikan emas kepada Amerika untuk bekalan senjata dan peralatan perang.

Selepas perang berakhir, sistem emas standard tidak lagi boleh diteruskan oleh negara-negara itu kerana emas mereka sudah habis.

Dunia memerlukan sistem kewangan yang baru.

Oleh itu, Amerika sebagai pemain utama telah mendominasi sistem yang baru berikutan pegangan emas yang dimiliki adalah dua pertiga daripada simpanan emas dunia.

Sistem Bretton Woods

Sistem Bretton Woods merupakan sebuah sistem di mana standard emas menjadi mata wang tetap dalam sesebuah pertukaran asing.

Tujuannya adalah untuk mewujudkan sistem pertukaran asing yang lebih efisien, mengelakkan persaingan penurunan nilai mata wang dan mempromosikan perkembangan ekonomi antarabangsa.

Sistem ini telah diperkenalkan pada 1 Julai 1994 di Bretton Woods, New Hampshire dengan kehadiran delegasi daripada 44 buah negara.

Kerana mempunyai pegangan emas yang banyak, US dolar dipilih untuk menjadi mata wang yang akan didasari oleh emas seterusnya US dolar pula akan didasari oleh mata wang lain.

Melalui perjanjian ini juga, dua instistusi kewangan dunia yang terkenal telah diwujudkan iaitu International Monetary Fund (IMF) dan International Bank (kini World Bank) bagi membantu perkembangan ekonomi dunia.

IMF ditubuhkan bertujuan untuk memberikan pinjaman wang kepada negara-negara yang sedang dalam kesulitan dan tidak mampu untuk memperoleh sumber kewangan lain.

International Bank atau Bank Dunia pula ditubuhkan bertujuan untuk penambahbaikkan dan pembangunan bagi negara-negara yang kurang membangun.

USD Makin Banyak, Emas Habis

Sistem Bretton Woods yang digunapakai memberi kelebihan kepada AS untuk mencetak terlalu banyak US dolar.

Lama-kelamaan, AS mula mengalami defisit apabila terlalu banyak menyalurkan dana untuk pelbagai projek yang menyebabkan jumlah US dolar semakin banyak namun jumlah simpanan emas semakin menurun apabila banyak negara yang meminta emas sebagai alat pertukaran dengan US dolar.

Setelah situasi semakin sukar, AS membuat tindakan yang tidak mampu dicabar dan negara-negara lain terpaksa akur.

Pada 15 Ogos 1971, perjanjian Bretton Woods ini telah dibatalkan oleh Presiden AS ketika itu iaitu Richard Nixon.

Beliau membuat pengumuman secara rasmi bahawa US dolar tidak lagi bersandarkan kepada emas dan peristiwa ini digelar sebagai “Nixon Shock”.

USD Dominasi Dunia

Disebabkan AS memiliki pegangan terbesar dalam dunia, negara-negara lain tidak mampu berbuat apa-apa.

Mata wang US dolar kekal digunakan sebagai standard pertukaran kepada mata wang negara-negara lain dan digunapakai untuk urusan transaksi, pembayaran dan perniagaan di peringkat global.

Jika tidak bersandarkan kepada emas, US dolar bersandarkan kepada apa? Kepercayaan.

Selagi negara lain akur dengan penguasaan US dolar, tiada apa-apa boleh dilakukan.

Disebabkan itu juga muncul pakatan antara beberapa negara untuk mengurangkan dominasi US dolar seperti BRICS.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat