Ini Mata wang Yang ‘Timbul’ Ekoran Tenggelamnya Raja USD

639

Puncak tertinggi 20 tahun yang dicapai US dolar semakin hilang dari pandangan apabila raja mata wang itu terus melanjutkan penurunan lebih rendah ketika pasaran menuju penghujung minggu.

Sesi pasaran Eropah menyaksikan indeks dolar didagangkan merosot pada 108.50 berbanding kebanyakan mata wang utama, semakin jauh dari paras tertinggi 110.78 yang dicapainya pada Rabu.

Memanfaatkan penyusutan US dolar adalah euro yang melonjak lebih tinggi selain turut mendapat sokongan daripada keputusan mesyuarat polisi Bank Pusat Eropah (ECB) yang meningkatkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas.

Presiden ECB Christine Lagarde telah memberi petunjuk untuk meneruskan kenaikan dalam kadar faedahnya tetapi menolak kemungkinan akan melaksanakan peningkatan sebanyak tiga perempat mata asas lagi pada mesyuarat seterusnya.

Ketua bank pusat Eropah itu akan berucap sekali pada sesi Eropah hari ini dalam sidang akhbar di Mesyuarat Eurogroup yang dijangka akan mengulangi pendirian ECB untuk menurunkan inflasi.

Sementara itu, mata wang pound juga mencatatkan peningkatan dengan bangkit lebih jauh dari paras terendah 37 tahun.

Perdana Menteri UK, Liz Truss mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan ‘jaminan harga tenaga’ selama dua tahun dan menjelaskan bahawa isi rumah akan membayar tidak lebih daripada £2,500 setahun untuk bil tenaga.

Di sisi lain, mata wang komoditi termasuk dolar Aussie, New Zealand dan Kanada turut melantun lebih tinggi susulan kelemahan US dolar ketika tumpuan pelabur juga diarahkan kepada penerbitan data pekerjaan Kanada pada sesi New York.

Mata wang yen turut pulih dari paras terendah 24 tahun berbanding US dolar, mengenepikan kenyataan yang berulang daripada pembuat dasar Jepun yang akan terus meneliti pergerakan pasaran mata wang sebelum bertindak.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat