Ini Situasi Bursa Malaysia Pada Awal Disember

350

Bursa Malaysia memulakan dagangan bulan terakhir 2020 dengan sentimen lebih positif apabila para pelabur terus memburu kaunter-kaunter yang terjejas susulan aktiviti penjualan secara ketara semalam.

Pada 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.6 peratus atau 24.77 mata kepada 1,587.48 berbanding 1,562.71 sewaktu dagangan ditutup pada Isnin.

Lapor Bernama, indeks itu juga dibuka meningkat 17.46 mata kepada 1,580.17.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 328 berbanding 172 manakala 321 kaunter lain tidak berubah, 1,287 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 525.46 juta unit bernilai RM247.57 juta.

Dalam pada itu, Malacca Securities berkata, FBM KLCI ditutup lebih rendah semalam ketika pasaran menerima tempias susulan tindakan pelabur menseimbangkan portfolio masing-masing pada akhir bulan dengan kaunter saham berharga rendah menjadi tumpuan dan mendapat permintaan tinggi.

FBM KLCI mencatat 95.82 mata dari segi keuntungan (6.5% bulan ke bulan) pada November 2020.

“Walaupun ketidaktentuan baharu itu dilihat kian ketara, kami sebaliknya menganggap aktiviti mencari saham-saham berharga rendah itu akan lebih ketara susulan penyusutan mendadak semalam.

“Selain itu, kami juga berpendapat saham berharga rendah ini lebih cenderung untuk mengalami peningkatan seterusnya, didorong oleh perkembangan membabitkan pembelian secara bergilir-gilir,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma pembrokeran itu percaya minat baharu terhadap sektor penjagaan kesihatan itu kian ketara susulan prospek cerah membabitkan pengeluar sarung tangan di FBM KLCI manakala sektor hartanah dijangka mencatat pemulihan selanjutnya susulan pelbagai langkah yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2021 bagi melonjakkan usaha pemilikan rumah.

CGS-CIMB menjangkakan paras rintangan terkini pada 1,600 diikuti dengan rintangan kritikal sebanyak 1,618 – 1,625.

Pasaran Dow AS (-0.9%) mencatat prestasi bulan terbaik dalam tempoh lebih tiga dekad meskipun ditutup lebih rendah, selepas sentimen pasaran berterusan positif yang dipacu oleh harapan membabitkan vaksin Covid-19.

Dalam pada itu, pelabur berhati-hati menunggu keputusan kuota pengeluaran daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya.

Di peringkat tempatan, Tenaga Nasional menokok 42 sen kepada RM10.50, Maybank meningkat 20 sen kepada RM8.10, Public Bank meraih 44 sen kepada RM17.84 dan Hong Leong Bank menambah 68 sen kepada RM17.86.

Petronas Gas sebaliknya susut 58 sen kepada RM17.58 dan PBB turun 30 sen kepada RM18.30.

Saham aktif menyaksikan AT Systematization menambah dua sen kepada 22 sen, EA Holdings naik setengah sen kepada 3.5 sen dan Metronic menokok satu sen kepada 12 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meningkat 146.02 mata kepada 11,480.89, Indeks FBMT 100 melonjak 140.81 mata kepada 11,241.55 dan Indeks Syariah FBM Emas menokok 133.26 mata kepada 13,280.63.

FBM 70 naik 51.28 mata kepada 14,880.20 dan FBM ACE menambah 16.58 mata kepada 10,718.19.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.08 mata kepada 162.74, Indeks Perladangan naik 79.24 mata kepada 7,295.97 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 277.28 mata kepada 14,081.49.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat