Kenapa USD Jatuh Walaupun Fed Sudah Umum ‘Tapering’?

1,792

Pengumuman Federal Reserve (Fed) untuk mengurangkan pembelian bon nampaknya gagal merangsang US dolar untuk bergerak lebih tinggi, tetapi sebaliknya matawang gergasi itu mempamerkan penyusutan sebaik sahaja ia diumumkan.

Secara umumnya, tiada yang mengejutkan daripada pengumuman Fed memandangkan pelabur telah menjangkakan lebih awal bahawa bank pusat AS akan mula mengurangkan pembelian bon sebanyak $15 bilion sebulan.

Malah, kenyataan Pengerusi Jerome Powell mengenai tekanan inflasi semasa dan kenaikan kadar faedah juga tidak menerujakan pelabur untuk meningkatkan pembelian matawang dolar greenback.

Sebaliknya, pasaran saham AS menyambut baik kenyataan Fed yang mengatakan bahawa pemulihan ekonomi bertambah baik dan disebabkan itu mereka mengambil keputusan untuk mula membuat pengurangan rangsangan.

Hasil perbendaharaan AS 10 tahun juga memberi reaksi berbeza daripada US dolar, dengan meningkat lebih tinggi ke tahap 1.60% susulan pengumuman tersebut.

Bagaimanapun, terdapat faktor lain yang boleh menyokong raja matawang itu pada sesi dagangan hari ini iaitu bacaan data pekerjaan ADP sektor swasta AS dan aktiviti sektor perkhidmatan yang lebih kukuh pada bulan Oktober.

Bacaan yang kukuh ini akan diteliti dan dijadikan petunjuk oleh para pelabur menjelang penerbitan laporan pekerjaan NFP pada hari Jumaat.

Ketika penulisan, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan matawang utama diniagakan sedikit berubah pada 93.88.

Tumpuan pelabur seterusnya beralih kepada mesyuarat polisi Bank Pusat England (BOE) pada malam ini yang dijangka akan menaikkan kadar faedah. Sekiranya bank pusat gagal memberi indikasi mengenai kenaikan kadar, ia berpotensi memberi impak besar kepada matawang pound.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat