Keyakinan Pelabur Mula Goyah, Kesihatan Ekonomi AS Tidak Seindah Disangkakan!

1,407

Malang tidak berbau buat dagangan dolar greenback selepas pengukuhannya dipatahkan oleh data ekonomi Amerika Syarikat yang mengecewakan pada bulan Ogos.

Sektor perkhidmatan antara yang paling ketara merosot dengan catatan di bawah  penguncupan pada 44.1 daripada 47.3 yang dicatatkan pada bulan lepas. Aktiviti pembuatan pula berkembang kepada 51.3 daripada 52.2 yang direkodkan sebelumnya.

Sebagai nota untuk pembaca INTRADAY, angka di atas 50.0 merujuk kepada pengembangan dalam industri, manakala angka di bawah 50.0 memberi indikasi kepada penguncupan.

Meneliti bacaan yang dilihat menyuramkan ini, ia memberi indikasi bahawa tahap kesihatan ekonomi AS tidak seperti yang disangkakan.

Ini sekali gus mengingatkan semula pelabur kepada kenyataan Federal Reserve (Fed) pada mesyuarat polisi baru-baru ini bahawa penetapan kadar faedah seterusnya adalah bergantung kepada data yang akan dikeluarkan.

Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk mencetuskan spekulasi bahawa Fed akan mengubah pandangan hawkish mereka disebabkan laporan ini kerana masih banyak data utama perlu dilihat oleh bank pusat.

Meskipun begitu, petunjuk terbaru mengenai penetapan dasar AS mungkin boleh diketahui pada simposium ekonomi Jackson Hole yang bakal berlangsung pada Jumaat dan Sabtu minggu ini.

Ketika sesi Asia, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback didagangkan stabil pada 108.68 berbanding mata wang utama, sedikit berundur dari paras ketinggian 20 tahun.

Selain itu, mata wang euro terus kecundang di bawah paras harga pariti pada 0.9950 berbanding US dolar susulan data pembuatan dan perkhidmatan Zon Eropah yang kurang memberangsangkan menambahkan lagi kebimbangan terhadap kemelesetan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat