Lima News Besar Pasaran Forex Pada Minggu Ini (30 April – 4 Mei)

920

Minggu ini boleh dikatakan minggu yang bakal sibuk kepada pemain-pemain pasaran termasuk pedagang runcit forex di Malaysia. Bukan sahaja news NFP pada Jumaat ini, tetapi terlebih dahulu kita akan disajikan oleh berita penetapan polisi monetari FOMC pada Khamis.

Rundingan dagangan AS-China juga akan menjadi perhatian apabila minggu lalu Larry Kudlow mengatakan akan berangkat ke China untuk merundingkan pertikaian dagangan. Ada banyak lagi berita penting yang akan dikeluarkan dan lima yang utama adalah seperti berikut:

#1 Penetapan Polisi Monetari FOMC (Khamis)

The Fed akan mengumumkan polisi monetari terkininya pada Khamis pukul 2 pagi di mana bank pusat itu dijangka mengekalkan kadar faedah di paras 1.75%. Tiada sidang media dalam penetapan kali ini dengan pasaran akan meneliti sepenuhnya kenyataan yang akan dikeluarkan oleh Federal Reserve. Walaupun begitu, pasaran optimis bahawa Fed akan menaikkan kadar faedahnya pada mesyuarat bulan Jun nanti.

#2 Data NFP Amerika Syarikat (Jumaat)

Seperti biasa data paling penting yang ditunggu-tunggu oleh pasaran pada setiap awal bulan adalah data NFP. Data ini akan dikeluarkan pada Jumaat pukul 8.30 malam. Bulan lalu, data merekod tambahan hanya 103,000 pekerjaan jauh daripada jangkaan 200,000. Fokus lebih kepada data kadar gaji (Average Hourly Earnings) yang dijangka merekod kenaikan 0.2% berbanding 0.3% sebelum ini.

#3 Penetapan Polisi Monetari RBA (Selasa)

Bank pusat Australia (RBA) akan mengumumkan polisi terbarunya pada pukul 12.30 tengah hari pada Selasa. Bank pusat dijangka akan mengekalkan kadar faedahnya di paras 1.50% sekali lagi. Kadar tidak pernah diubah sejak tahun 2016 dan Gabenor Lowe sebelum ini mengatakan ia akan dikekalkan buat masa ini dengan potensi perubahan kadar faedah hanyalah kepada kenaikan di masa hadapan.

#4 Data PMI Sektor Perkhidmatan UK dan AS

Sektor perkhidmatan di Amerika Syarikat dan UK adalah sektor terpenting kepada ekonomi. Oleh itu, pasaran juga akan memberi perhatian kepada data PMI sektor perkhidmatan yang mengukur aktiviti sektor berkenaan. Data PMI bagi Amerika Syarikat akan diumumkan pada Khamis pukul 10 malam dan UK pada hari sama pukul 4.30 petang.

#5 Data pekerjaan New Zealand (Rabu)

Data ini akan dikeluarkan pada pukul 6.45 pagi pada Rabu dengan jangkaan tambahan pekerjaan sebanyak 0.6% di mana kadar pengangguran dijangka kekal 4.5%. Jika data meleset daripada apa yang dijangka, NZD bakal tertekan pada hari tersebut.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat