LIMA News & Event Besar Tumpuan Pasaran Minggu Ini (11 – 15 Dis)

72

Satu lagi tempoh yang tidak menentu dalam pasaran minggu ini dengan empat daripada bank pusat utama dunia akan menetapkan polisi monetari mereka pada hari Khamis. Keempat-empat bank pusat ini adalah Federal Reserve (Amerika Syarikat), European Central Bank (ECB), Bank of England (BoE) dan Swiss National Bank (SNB).

1. Penetapan Polisi Monetari The Fed (Khamis, 3 pagi)

The Fed sememangnya dijangka akan menaikkan kadar faedahnya pada Khamis dari 1.25% kepada 1.50%. Pengerusi The Fed Janet Yellen akan menjadi tumpuan dalam sidang media pada hari tersebut di mana para pelabur akan mendapatkan isyarat tentang potensi kenaikan kadar faedah beberapa bulan akan datang.

Bank pusat akan mengeluarkan ramalan terkini tentang pertumbuhan ekonomi dan kadar faedah atau lebih dikenali sebagai “dot-plot”. The Fed sebelum ini meramalkan tiga kali kenaikan kadar faedah tahun depan dan dijangka unjuran kali ini juga dikekalkan walaupun ada sesetengah pemain pasaran yang skeptikal.

Minggu ini juga ada beberapa data ekonomi utama (tier-1) seperti inflasi, jualan runcit, harga pengeluar, dan pengeluaran industri.

Selain itu, reformasi cukai juga akan menjadi agenda utama di mana pembuat polisi Senat dan House akan bekerjasama dalam menetapkan rang undang-undang cukai ini.

Akhir sekali, pasaran akan terus memerhatikan perkembangan dalam siasatan FBI tentang kaitan Rusia dan kempen pilihanraya Trump tahun lalu.

2. Penetapan Polisi ECB (Khamis, 8.45 malam)

Pengumuman polisi ECB juga akan dibuat pada Khamis pukul 8.45 malam dengan pasaran keseluruhannya tidak menjangka sebarang perubahan. Fokus sudah tentu akan terarah kepada sidang media Mario Draghi di mana beliau dijangka akan terus menyatakan komitmen bank pusat menyokong ekonomi dan mengekalkan kadar faedah rendah beberapa bulan akan datang.

ECB juga akan membentangkan unjuran inflasi sehingga tahun 2020 yang akan menjadi tumpuan pasaran tentang tren inflasi dalam jangka sederhana.

3. Penetapan Polisi Bank of England (Khamis, 8 malam)

Tiada perubahan polisi yang dijangka dalam penetapan polisi kali ini dengan bank pusat masih lagi bimbang dengan ketidaktentuan Brexit, pertumbuhan gaji yang kecil dan produktiviti yang rendah.

Bulan lalu, BoE telah menaikkan kadar faedahnya tetapi mengatakan kenaikan di masa hadapan adalah terhad kerana Britain sedang bersedia untuk meninggalkan Kesatuan Eropah.

Perkembangan politik akan terus jadi tumpuan pasaran di mana mereka akan terus memerhatikan perkembangan rundingan Brexit walaupun fasa pertama telah dipersetujui. Minggu ini ketua-ketua Kesatuan Eropah juga akan berhimpun di Brussels pada 14-15 Disember.

4. Penetapan Polisi Swiss National Bank (Khamis, 5 petang)

Bank pusat Switzerland ini dijangka akan terus mengekalkan kadar faedah negatif (-0.75%). SNB juga dijangka akan terus komited dalam campurtangan (intervention) kadar tukaran matawang jika diperlukan. Pengerusi SNB Thomas Jordan dijangka akan terus mengulangi komen bahawa nilai Swiss Franc adalah tinggi walaupun jangkaan terhadap ekonomi adalah cerah.

Ramai penganalisis berpendapat SNB akan terus mengekalkan kadar faedah sehinggalah ECB terlebih dahulu menaikkan kadar faedah.

Data Pengeluaran Industri China (Khamis, 10 pagi)

China akan mengeluarkan data ini pada Khamis dengan jangkaan ia kekal pada 6.2%. Data industri China penting kerana ia dianggap enjin pertumbuhan ekonomi dunia dengan status ekonomi kedua terbesar dunia.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat