Lima News Impak Tinggi Tumpuan Pasaran Minggu Ini (18 -22 Sept)

54

US dolar melonjak dalam dagangan minggu lalu yang disokong oleh faktor sentimen di Amerika Syarikat yang lebih baik apabila bencana yang dibawa oleh taufan Irma tidaklah seteruk yang dijangka oleh ramai pelabur. Selain itu, spekulasi bahawa perancangan percukaian US pada 25 September ini juga membantu kenaikan US dolar dan data inflasi (CPI) yang melebihi jangkaan pasaran.

Ramai tertanya-tanya adakah ini satu permulaan tren baru kepada US dolar yang melemah sejak beberapa bulan lalu? Tiada kepastian dalam hal ini, namun penetapan polisi monetari The Fed minggu ini mungkin boleh menjadi pemangkin kepada pergerakan US dolar dalam jangka masa sederhana.

Tumpuan pasaran minggu ini sudah tentu kepada mesyuarat FOMC pada Khamis. Selain daripada itu, kami senaraikan empat lagi peristiwa ekonomi yang akan menjadi perhatian pasaran minggu ini.

1. Penetapan polisi monetari The Fed (Khamis)

Pengumuman kadar faedah dan polisi akan dibuat pada pukul 2 pagi waktu Malaysia. The Fed dijangka akan mengumumkan perancangan pengurangan pegangan bon (pengurangan penyata imbangan atau pengetatan kuantitatif). Fokus juga sudah tentu kepada bilakah kadar faedah seterusnya akan dinaikkan. Adakah kadar akan dinaikkan pada Disember seperti yang dijangka oleh pasaran? atau ia akan ditangguhkan disebabkan data inflasi sejak beberapa bulan lalu tidak memuaskan?

Oleh itu, penting untuk kita mengekori rapat pengumuman yang dibuat oleh The Fed pada Khamis dari kenyataan rasmi pukul 2 pagi sehinggalah sidang media selepas itu di mana Pengerusi Fed Janet Yellen akan menjawab ssoalan-ssoalan daripada wartawan.

2. Penetapan polisi monetari Bank of Japan (Khamis)

Tiada masa yang tepat untuk mengetahui pukul berapa bank pusat ini akan mengumumkan polisi mereka. Setakat yang kita tahu, prestasi BoJ tidak begitu baik dalam mencapai sasaran inflasi 2%. Untuk mesyuarat kali ini, bank pusat dijangka tidak akan mengubah polisi di mana mereka akan mengekalkan kadar faedah di paras rendah, jumlah pembelian bon dan juga sasaran hasil-bon di paras 0.0%

3. Data inflasi Kanada (Jumaat)

Data ini akan dikeluarkan pada pukul 8.30 malam. Dolar Kanada melonjak tinggi sejak beberapa minggu lepas apabila Bank of Canada menaikkan kadar faedahnya. Antara sebab lonjakan matawang Loonie adalah disebabkan tindakan bank pusat yang mengejutkan menaikkan kadar faedah dua kali berturut-turut pada September.

Dalam kenyataan polisi baru-baru ini, bank pusat mengatakan mereka akan bergantung kepada data di masa hadapan untuk membuat keputusan kenaikan kadar faedah. Oleh itu, data inflasi (CPI) pada Jumaat adalah penting untuk dilihat.

4. Ucapan Presiden ECB Mario Draghi

Mario Draghi akan berucap pada Khamis dan Jumaat. Penting untuk pasaran mengikuti pandangan atau pendirian terkini beliau kerana ECB dijangka akan mengumumkan perancangan ‘tapering’ pada mesyuarat Oktober.

Antara yang perlu diberi perhatian setiap kali Draghi berucap adalah, pendirian terhadap pengukuhan matawang Euro, pandangan tentang inflasi di masa hadapan, dan juga bilakah tapering akan dibuat. Kerana sebarang komen tentang perkara-perkara ini mampu menggerakkan pasaran jika intipati komen beliau adalah lebih spesifik atau mengejutkan.

5. Pilihanraya umum New Zealand (Sabtu)

Pengundi akan memilih kerajaan baru dalam pilihanraya umum ke-52. Pilihanraya di negara ini diadakan setiap tiga tahun dengan kebarangkalian pilihanraya mengejut dalam tempoh tersebut.

Ketika ini pasaran akan menumpukan kepada tinjauan-tinjauan pilihanraya terkini sama ada memihak kepada parti Labour atau National. Sebelum ini, NZD seringkali terkesan apabila tinjauan dikeluarkan, dan sejak beberapa minggu lalu kita melihat naik-turun (volatility) pasangan matawang kiwi apabila kedua-dua parti berganti-ganti mendahului tinjauan.

Kita bakal melihat gap dalam pasangan matawang kiwi pada Isnin minggu depan berikutan daripada keputusan pilihanraya hujung minggu ini.

 

Mahu belajar FUNDAMENTAL ANALISIS? Belajar di sini.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat