Makin Hangat, UK Bakal Sertai AS Di Medan Tempur Laut China Selatan

3,241

Salah satu daripada kapal induk baru Britain, HMS Queen Elizabeth yang bernilai kira-kira £ 3 bilion akan dikerahkan ke Laut China Selatan untuk mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat dan Jepun.

HMS Queen Elizabeth dijangka akan berlayar ke wilayah Timur Jauh pada tahun hadapan dengan ditemani oleh kapal perang lain, termasuk dua kapal pemusnah Jenis 45 dan dua kapal frigat, selain ia juga memiliki dua skuadron jet F-35B Lightning II.

Selain itu menurut laporan The Times, rancangan juga telah dibuat untuk menempatkan kapal induk HMS Prince of Wales di wilayah itu setelah tamat menjalani latihan.

Langkah ini diambil ketika Amerika Syarikat menyuarakan bantahannya terhadap semua tuntutan China di wilayah tersebut baru-baru ini, dan menyifatkan tindakan Beijing membuli beberapa negara dengan mengawal perairan itu adalah tidak sah.

Bukan itu sahaja, malah, pentadbiran Trump juga memberi sokongan kepada negara-negara Asia Tenggara yang terlibat dalam pertikaian tersebut dengan Beijing.

Susulan daripada tindakan ini juga, ia dijangka akan meningkatkan lagi ketegangan antara UK dan China yang semakin meruncing susulan tindakan UK yang secara rasmi menyekat penggunaan teknologi Huawei dalam rangkaian 5G di negara itu.

Perdana Menteri Boris Johnson sebelum ini juga telah mencabar China dengan menawarkan visa dan peluang kewarganegaraan kepada rakyat Hong Kong sebagai tindak balas kepada perlaksanaan undang-undang keselamatan baru di Hong Kong.

Anda mungkin juga berminat