New Zealand Kena Serang Lagi!

906

Baru sahaja 102 hari bebas daripada penularan Covid-19, New Zealand kembali digemparkan dengan pengumuman bahawa terdapat empat kes baru jangkitan di Auckland sehingga memaksa kerajaan mengenakan sekatan di bandar berkenaan.

Perkhabaran ini ternyata mengejutkan New Zealand dan dunia apatah lagi negara itu terkenal dengan kejayaan mereka dalam membendung penyebaran Covid-19 dan membolehkannya membuka semula aktiviti ekonomi.

Sebanyak 13 kes baru telah dilaporkan hari ini, membawa jumlah kes aktif terkini kepada 36 termasuk kes import. Sementara 17 kes daripadanya adalah daripada kluster terbesar yang dikesan di Auckland.

Hal ini telah menyebabkan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern meluahkan kebimbangannya bahawa penularan ini akan menjadi lebih buruk kerana virus Covid-19 mungkin telah merebak di sekitar bandar itu selama berminggu-minggu sebelum ia dapat dikesan.

Adakah New Zealand akan menerima nasib sama seperti rakannya, Australia?

Sekatan tahap tiga yang telah dikenakan di Auckland selama tiga hari, dijangka akan diperketatkan lagi, di mana keputusannya akan diumumkan pada Jumaat.

Sekiranya peningkatan kes ini berterusan, ia mungkin akan mempengaruhi dagangan dolar kiwi lebih-lebih lagi setelah Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) juga menyatakan kecenderungannya untuk mengambil lebih banyak langkah rangsangan.

Pada mesyuarat polisi monetari RBNZ bagi sesi Ogos, bank pusat telah meningkatkan lagi program pelonggaran Pembelian Aset Skala Besar (LSAP) kepada $100 bilion daripada $60 bilion dan mengekalkan kadar faedah pada 0.25%.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat