Paras Rizab Asing Negara Terus Stabil Disokong Ringgit

65

Penurunan nilai ringgit tidak membawa kepada kemerosotan ketara dalam rizab pertukaran asing Malaysia, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani hari ini.

Malahan, rizab asing berada pada paras stabil sekitar US$97 bilion sepanjang tahun ini, ujarnya, yang menjelaskan salah faham tentang fakta dalam artikel berita baru-baru ini yang bertajuk, “Malaysia has to face ringgit volatility” (Malaysia perlu hadapi turun naik ringgit), yang dilaporkan oleh sebuah akhbar dalam talian.

“Walaupun nilai ringgit menyusut kebelakangan ini disebabkan sebahagiannya aktiviti spekulatif di pasaran luar pesisir, namun penurunan itu tidak membawa kepada penurunan ketara dalam rizab asing Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengesahkan rizab itu malahan meningkat kepada US$98.3 bilion pada 15 Nov, 2016, daripada US$97.8 bilion yang dicatatkan pada akhir Oktober.

“Adalah penting untuk dimaklumkan bahawa paras rizab terus disokong oleh lebihan akaun semasa yang berkekalan dan aliran masuk pelaburan langsung asing yang menyediakan penampan daripada keadaan tidak menentu dalam pasaran kewangan.

“Berdasarkan fakta di atas, rizab tidak mungkin jatuh daripada paras US$170 bilion kepada US$97 bilion disebabkan pelabur keluar dari Malaysia seperti yang dilaporkan dalam sebuah artikel baru-baru ini,” katanya.

Johari berkata paras tertinggi rizab Malaysia ialah sebanyak US$141.4 bilion seperti yang dicatatkan pada Mei 2013 dan bukannya US$170 bilion seperti yang dilaporkan.

Sumber: Bernama

Hadapi Turun-Naik (Volatility) Ringgit.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat