Peloton Gagal Menyinar Hari Pertama Dagangan

251

Peloton Interactive Inc. memulakan hari pertama dagangan dengan prestasi yang kurang memberangsangkan apabila gagal menambat hati pelabur untuk memberi pulangan yang lebih tinggi. Peloton yang mengumpul $1.16 bilion dalam saham penawaran awal (IPO) menambah lagi koleksi saham yang gagal menyinar pada hari pertama penyenaraian.

Bermula pada tahun 2012, Peloton menggelar syarikat mereka sebagai platform kecergasan interaktif terbesar di dunia dengan jumlah ahli yang mencapai 1.4 juta orang. Syarikat ini juga mempunyai aplikasi yang berkongsi cara senaman kepada mereka yang tidak mempunyai peralatan tetapi sanggup membayar yuran langganan bulanan untuk kelas.

Saham Peloton dibuka pada harga $27 namun ditutup 11 peratus lebih rendah kepada $25.76 menjadikan nilai terkini syarikat itu $7.2 bilion. Syarikat berasaskan produk kecergasan itu menjual sebanyak 40 juta unit saham yang bernilai $29 sesaham pada hari Rabu selepas menetapkan harga pasaran di antara $26 hingga $29.

Peloton mencatatkan permulaan dagangan ketiga terburuk dalam tempoh 10 tahun di AS bagi syarikat yang telah berjaya menaikkan sekurang-kurangnya $1 bilion dalam IPO. IPO ini juga datang ketika para pelabur masih lagi terkejut dengan berita penangguhan syarikat WeWork yang sepatutnya disenaraikan di pasaran saham bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Peloton, John Foley berkata bahawa beliau agak kecewa dengan sambutan dari pelabur namun masih yakin terhadap keupayaan syarikatnya. Tambahnya lagi, IPO menjadikan syarikat itu dibiayai sepenuhnya dan mereka akan memberikan lebih tumpuan kepada penambahan pelanggan untuk masa yang akan datang.

Penyenaraian Peloton juga menimbulkan persoalan tentang bank pelaburan yang telah memberi penilaian yang agak tinggi untuk saham syarikat itu. Perniagaan asas bagi syarikat itu adalah baik namun apabila penilaian dibuat terlalu tinggi, pelabur akan mula teragak-agak untuk membeli saham tersebut kerana dirasakan tidak berbaloi.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat