Insiden tragis Terra (LUNA) dan TerraUSD (UST) mendapat perhatian seluruh dunia, termasuk Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Janet Yellen.
Dalam pendengaran semalam di hadapan Jawatankuasa Perbankan Senat, Yellen menggesa untuk mewujudkan polisi stablecoin dan rangka kerja perlu ada seawalnya menjelang hujung tahun ini.
Gesaan daripada bekas pengerusi Federal Reserve (The Fed) ini berpunca daripada stablecoin Terra, UST yang telah mencatatkan penyusutan nilai di bawah $1, menyebabkan ia sudah tidak lagi terikat dengan dolar AS.
Jelas Yellen, insiden ini sudah cukup membuktikan pertumbuhan pesat bagi sesuatu produk akan diiringi dengan risiko yang tinggi:
“Disebabkan itulah kita perlu ada rangka kerja persekutuan yang konsisten…Kami akan keluarkan laporan lengkap dalam masa terdekat.
Sebagai rekod, cadangan Yellen mencerminkan persetujuan presiden AS, Joe Biden terhadap perintah eksekutif yang ditandatangani pada Mac.
Terra, UST, dan LUNA – rug pull?
LUNA dan UST saling mencatatkan penyusutan harga sejak Jumaat, sebelum masing-masing mempamerkan tanda tiada untuk bangkit.
Berdasarkan artikel nasib kedua-dua aset natif Terra yang diterbitkan tadi, masih belum jelas untuk menyifatkan pengalaman ini sebagai rug pull.
CEO Terra, Do Kwon pada malam tadi ada memuatnaik twit yang bernada positif: “Sedikit sahaja lagi akan umumkan rancangan pemulihan untuk UST.”
Namun sehingga sekarang belum ada khabar melegakan. Sebaliknya Kwon cuma meminta pelabur LUNA dan UST bersabar.