PMX Dedah Hasrat Geely & Saudi Aramco Melabur Di Malaysia

575

Selepas Tesla, syarikat automotif China, Geely pula menyatakan minat untuk melabur dengan menjadikan Tanjung Malim, Perak menjadi kota automobil terbesar di rantau ini.

Hasrat yang diutuskan melalui surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari Isnin itu dilihat bakal mewujudkan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Ketika berucap dalam satu program pada Selasa, beliau menyatakan Geely dalam surat setebal 10 muka suratnya memaklumkan bahawa ia mahu menjadikan Tanjung Malim sebagai bandar automobil terbesar di rantau ini.

Bagi merealisasikannya, pengeluar kereta China itu akan melabur sebanyak $10 bilion atau RM45.4 bilion.

Khabar baik itu tidak terhenti setakat itu sahaja, malah Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengatakan gergasi minyak Saudi Aramco mahu menjadikan Malaysia sebagai hub minyak dan gas bagi Arab Saudi di Asia Tenggara.

Ujarnya, ketua pegawai eksekutif Aramco Amin Naseer telah memaklumkan kepada beliau bahawa syarikat itu selesa dengan dasar dan kepimpinan kerajaan dan telah memutuskan untuk menjadikan hub pengembangan minyak dan gas di rantau ini.

Dalam tiga bulan pertama tahun ini, negara telah berjaya menarik pelaburan bernilai kira-kira RM71 bilion yang diluluskan, menurut beliau.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat