Rancangan Terbaru EU Beri Sokongan Untuk Euro Bangkit Semula

493

US dolar mencatat sedikit penyusutan pada awal sesi Eropah ketika kebanyakan mata wang utama lain berusaha untuk bangkit semula daripada kejatuhan sebelum ini.

Susulan rundingan ketiga antara delegasi Rusia dan Ukraine pada hari Isnin, kedua-dua pihak malangnya masih gagal mencapai sebarang kemajuan untuk melakukan gencatan senjata. Namun, terdapat kejayaan kecil dibuat dalam isu koridor kemanusiaan.

Tumpuan kini disasarkan kepada pertemuan dua pegawai tertinggi Rusia dan Ukraine yang bakal diadakan pada hari Khamis di Turki.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Alexander Novak memberi amaran bahawa Rusia boleh menyekat saluran paip gas utamanya Nord Stream 1 kepada Jerman sekiranya rancangan pengharaman ke atas import minyaknya diteruskan.

Ini dilihat bakal memberi impak besar kepada ekonomi terbesar Eropah itu yang mempunyai kebergantungan tinggi pada bahan tenaga dari Rusia.

Walaupun begitu, mata wang euro yang telah berada di bawah tekanan berikutan kebimbangan ini, mencatat sedikit peningkatan susulan laporan yang menyatakan Kesatuan Eropah (EU) akan mempertimbangkan penjualan bon bersama yang besar untuk membiayai tenaga dan pertahanan mereka.

Dalam pada itu, EU juga dilaporkan sedang merancang untuk mengurangkan import gas Rusia sebanyak dua pertiga dalam tempoh 12 bulan akan datang sebagai cara menghapuskan kebergantungannya terhadap Moscow.

Rentetan daripada itu, ia secara tidak langsung memberi sedikit keredaan buat pasaran yang berisiko dan menyokong mata wang utama lain sedikit pulih.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat