RBNZ Umum Pemotongan Kecemasan Kadar Faedah Kepada 0.25%!

282

Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) mengumumkan untuk mengurangkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas ke paras terendah 0.25% dalam mesyuarat kecemasan pagi ini dan ia akan dikekalkan pada tahap semasa sekurang-kurangnya dalam tempoh satu tahun.

Ketika ekonomi global sedang diancam oleh penularan wabak COVID-19, RBNZ mengambil langkah sama seperti bank pusat di seluruh dunia, termasuk Federal Reserve AS yang melakukan penurunan kecemasan kedua kadar faedah kepada julat sasaran 0%-0.25% awal pagi tadi.

Gabenor RBNZ, Andrian Orr memberitahu dalam satu kenyataan hari ini bahawa virus maut itu dijangka akan memberi impak yang besar kepada rakyat dan ekonomi New Zealand sepanjang tahun ini.

Orr berkata bahawa langkah yang diambil adalah bagi menjelaskan bahawa bank pusat tidak menyasarkan untuk kadar faedah negatif buat masa ini.

Tambah beliau lagi, RBNZ akan mempertimbangkan untuk menggunakan alat tambahan seperti pembelian aset besar-besaran bon kerajaan New Zealand sekiranya langkah rangsangan selanjutnya diperlukan pada masa akan datang.

Berikutan itu, dolar New Zealand jatuh lebih 2% sehingga mencecah paras terendah terbaru sejak Mei 2009 berbanding US dolar dan kemudiannya diniagakan di sekitar paras 0.6000 pada pembukaan dagangan awal minggu sesi Asia.

Pembantu Gabenor RBNZ, Christian Hawkesby memberitahu bahawa sekatan perjalanan di kebanyakan negara dijangka memberi impak kepada ekonomi global dan domestik dalam tempoh jangka sederhana. Bagaimanapun, beliau memaklumkan tidak ada keperluan untuk mempertimbangkan langkah-langkah yang tidak konvensional buat masa ini.

Sementara itu, Perdana Menteri Jacinda Arden dilaporkan akan mengumumkan langkah rangsangan yang besar pada hari Selasa, sebagai sebahagian daripada usaha negara itu untuk menangani impak coronavirus kepada ekonomi New Zealand.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat