Matawang Aussie setakat ini didagangkan bercampur-campur jika mengambil kira pergerakan sejak daripada hari Isnin. Namun, ini bukanlah menandakan pair AUD hanya digerakkan oleh pasangan matawangnya dan sebenarnya ia juga digerakkan oleh AUD itu sendiri.
Biasanya matawang AUD tidak banyak dipengaruhi oleh pergerakan harga komoditi emas tetapi pergerakan pada minggu ini agak seiring dengan komoditi berharga itu.
AUD dilihat membuat sediki penurunan pada Selasa apabila data pengeluaran industri China yang dikeluarkan merekodkan bacaan negatif. Minit mesyuarat bank pusat Australia juga tidak banyak menyokong AUD pada Selasa.
Matawang AUD membuat kenaikan pada Rabu berikutan sentimen pasaran yang semakin pulih daripada risiko geopolitik dan risiko perang perdagangan dengan indeks-indeks saham global membuat kenaikan. AUD sering membuat kenaikan apabila sentimen pasaran beransur pulih daripada sentimen berisiko.
Pengukuhan AUD berterusan sehingga awal sesi dagangan Khamis dan kemudiannya membuat kejatuhan sejak awal sesi Eropah pada hari tersebut. Kejatuhan AUD dilihat berterusan sehinggalah pada Jumaat.
Walaupun dengan sentimen pasaran yang beransur pulih dan keadaan pasaran yang tenang tanpa risiko politik, AUD masih membuat penurunan sejak daripada hari Khamis. Hal ini disebabkan kesan daripada kenaikan hasil bon 10 tahun AS yang membuat kenaikan dan kini melepasi paras 2.90%. Bukan AUD sahaja terkesan, tetapi NZD dilihat lebih banyak tertekan.
Kejatuhan AUD pada Jumaat banyak disebabkan oleh kenaikan hasil pelaburan di Amerika Syarikat yang ditunjukkan dengan hasil bon AS. Dengan kenaikan ini, pasaran bon di AS dilihat lebih menarik berbanding di Australia sekaligus menyebabkan pelabur banyak beralih ke pasaran bon kerajaan Amerika.