Penyedia pembayaran rentas sempadan Malaysia, Tranglo dan Ripple dikhabarkan telah menjalinkan kerjasama dalam usaha memperkenalkan pembayaran rentas sempadan yang cepat dan murah menggunakan XRP, melibatkan Asia dan Timur Tengah.
Kerjasama itu dikhabarkan menerusi catatan rasmi di blog Tranglo semalam.
Difahamkan Tranglo telah melancarkan perkhidmatan On-Demand Liquidity (ODL) di RippleNet, dan merancang untuk memperkenalkan lebih banyak saluran pembayaran pada masa akan datang.
Untuk pengetahuan, Ripple juga telah memperoleh saham Tranglo sebanyak 40% pada Mac sebagai sebahagian daripada perkembangan rancangan ini di seluruh Asia Tenggara.
Bisnes pembayaran Ripple menyaksikan pertumbuhan yang kuat, terutama di Asia dengan rekod transaksi meningkat 130% tahun ke tahun (YOY).
Rinciannya seperti berikut:
- Minggu ini – Al Ansari Exchange, terletak di Emiriah Arab Bersatu (UAE) memilih RippleNet Cloud untuk menyediakan pengiriman wang pada hari yang sama ke Malaysia, bersama sokongan daripada syarikat teknologi pemindahan wang, MoneyMatch.
- 12 Oktober – Ripple dan Nelnet Renewable Energy telah membuat pelaburan bersama ke dalam dana pelaburan tenaga solar Nelnet.
- 7 Oktober – Ripple berintegrasi dengan Qatar National Bank (QNB) bagi tujuan menambahbaik pembayaran rentas sempadan dan pelancaran platform pengiriman wang terbaru.
- September – Ripple sertai Bhutan untuk pengujian matawang digital bank pusat (CBDC).
- Ogos – Syarikat pengiraman wang Korea Selatan, Global Money Express Co. Ltd (GME Remittance) menyertai RippleNet untuk meluaskan lagi pembayaran dua hala melibatkan Korea Selatan dan Thailand.