Semua Matawang Berdesup Naik!

854

Dagangan matawang utama terus menokok lebih tinggi berbanding US dolar pada sesi Asia hari ini dengan pasaran masih lagi disokong oleh optimisme terhadap perkembangan positif vaksin Covid-19 dan langkah rangsangan yang dipersetujui Kesatuan Eropah (EU).

Euro akhirnya menembusi paras harga 1.1500 berbanding USD, menghampiri tahap ketinggian yang pernah dicapainya sejak Januari 2019 pada 1.5710 setelah para pemimpin EU mencapai kesepakatan terhadap pelan dana pemulihan Eropah €750 bilion.

Selera risiko telah meningkat dengan tinggi pada minggu ini ketika kemajuan dalam usaha mengembangkan vaksin Covid-19 mengurangkan daya tarikan terhadap US dolar.

Pelabur juga mengharapkan sejumlah besar perbelanjaan fiskal dapat menyokong pertumbuhan ekonomi utama, tetapi mudah kecewa jika rangsangan lebih kurang daripada jangkaan.

Dolar greenback didagangkan susut berbanding sekumpulan matawang utama kepada 95.11 pada sesi Asia.

Dalam pada itu, Senat AS dilaporkan telah mula membincangkan mengenai pakej rangsangan baru. Antara isu utama yang melemahkan peluang untuk mencapai kesepakatan adalah Demokrat dan Republikan mempunyai perbezaan pendapat mengenai berapa banyak perbelanjaan untuk melaksanakan rangsangan.

Di sisi lain, dolar Aussie dan New Zealand terus memanfaatkan kelemahan US dolar dan berita mengenai vaksin Covid-19 dengan masing-masing naik lebih tinggi untuk diniagakan di sekitar 0.7130 dan 0.6642 pada sesi pasaran Asia.

Sementara itu di Eropah, matawang pound juga didagangkan tinggi walaupun terdapat ketegangan dalam hubungan UK dan China.

Setiausaha Luar Negeri, Dominic Raab mengumumkan UK akan menangguhkan perjanjian ekstradisi dengan Hong Kong sebagai tindak balas terhadap undang-undang keselamatan baru.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat