Sentimen Pasaran : Ini Reaksi Matawang Utama Susulan Mesyuarat FOMC

468

US dolar terus memanjangkan penurunannya, dengan jatuh ke paras terendah tiga bulan berbanding sekumpulan matawang utama setelah Federal Reserve (Fed) AS mengekalkan kadar faedah dan menerbitkan unjuran pertumbuhan yang suram.

Kadar faedah dijangka kekal pada julat sasaran 0 hingga 0.25% sehingga tahun 2022, dan dalam pada itu, Fed komited untuk meneruskan pembelian asetnya dalam beberapa bulan akan datang.

Selain keputusan kadar faedah, pasaran turut menyaksikan kesuraman dalam unjuran pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat yang dijangka akan menguncup 6.5% pada tahun ini dan kembali meningkat 5% pada 2021.

Sebelum mesyuarat polisi FOMC, pasaran terlebih dahulu disajikan dengan penerbitan data inflasi AS yang menunjukkan penurunan buat bulan ketiga berturut-turut pada bulan Mei disebabkan permintaan yang masih lemah akibat terkesan oleh krisis Covid-19.

Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding enam matawnag utama didagangkan rendah pada 96.02.

Sementara itu, dolar Aussie melonjak ke paras ketinggian terbaru 11 bulan berbanding USD pada $0.7062, sementara dolar kiwi pula menokok ke paras ketinggian 4 bulan, sebelum kedua-duanya kembali mencatat penyusutan pada dagangan sesi Asia.

Dalam pada itu, euro turut melonjak ke paras tertinggi 3 bulan berbanding US dolar berikutan kenyataan dovish Fed mengenai kadar faedah yang dijangka kekal di tahap terendah sehingga 2022.

Matawang pound juga meraih keuntungan dengan didagangkan tinggi di paras ketinggian 3 bulan, namun kembali susut pada sesi Asia berikutan ketidakpastian dalam rundingan dagangan Brexit.

Ketua Perunding Brexit EU, Michel Barnier dalam satu kenyataannya pada Rabu, memberitahu bahawa UK telah membuat tuntutan yang lebih banyak berbanding Kanada, Jepun dan rakan dagang EU yang lain dalam rundingan mereka.

Selain itu, kejatuhan harga minyak telah membantutkan pergerakan dolar Kanada yang kembali menyusut setelah mengukuh ke paras tertinggi 3 bulan berbanding USD susulan kenyataan Fed.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat