Serba Dinamik Kembali ‘Bernafas’

513

Saham Serba Dinamik Holdings Bhd kembali melantun selepas merekodkan kenaikan sebanyak 4.5 sen atau 7.26% kepada 66.5 sen ketika sesi dagangan pagi tadi.

Lonjakan itu didorong oleh minat belian selepas sahamnya menyusut sebanyak 61.49% kepada paras terendah 61 sen semalam susulan isu audit yang dibangkitkan baru-baru ini.

Pada pukul 10.08 pagi, Serba Dinamik mencecah paras 64.5 sen, naik 2.5 sen atau 4.03% berbanding 62 sen ketika ditutup semalam.

Kaunter itu merupakan saham paling aktif didagangkan pagi ini dengan 125.76 juta saham diniagakan.

Saham berkaitan dengan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat tersebut, Datuk Dr. Mohd Abdul Karim Abdullah juga melantun semula pagi tadi.

Saham KPower Bhd naik sebanyak 10 sen atau 9.62% kepada RM1.14 sebelum berada di paras RM1.09 pada pukul 10.10 pagi.

Kaunter itu menyaksikan sebanyak 11.65 juta sahamnya bertukar tangan.

Sementara itu, saham Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) juga meningkat sebanyak 4 sen atau 4.71% kepada 89 sen pagi tadi sebelum berada di paras 86 sen.

Kaunter terbabit menyaksikan 9.59 juta sahamnya didagangkan.

Serba Dinamik mendapat liputan sejak minggu lalu setelah mengumumkan langkah untuk menjalankan semakan bebas khas selepas lembaga pengarah syarikat itu dimaklumkan oleh juruaudit luarnya, KPMG mengenai beberapa masalah perakaunan yang berkaitan dengan audit berkanunnya.

Menurut Serba Dinamik, KPMG telah membangkitkan isu yang berkaitan dengan jumlah transaksi penjualan sebanyak RM2.32 bilion, hutang perdagangan sebanyak RM652 juta dan baki bahan ‘on site’ sebanyak RM569 juta yang melibatkan 11 pihak.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat