Situasi Kini Buatkan Pelabur Emas Hitam Murung

418

Komoditi hitam diniagakan menyusut pada dagangan awal minggu dengan lonjakan kes baru Covid-19 dan ketegangan hubungan AS-China terus mempengaruhi sentimen semasa yang mendorong pelabur kepada aset safe-haven.

Niaga hadapan minyak mentah Brent jatuh 20 sen kepada $43.59 setong, manakala minyak mentah WTI Amerika Syarikat pula susut 16 sen kepada $41.15 setong.

Dalam laporan terbaru coronavirus, Florida dilaporkan telah mengatasi New York dalam merekodkan kes Covid-19 paling tinggi di negara itu, menurut berita hujung minggu. Lebih 67,000 kes telah disahkan pada Sabtu, dengan jumlah kematian melebihi 146,000.

Dalam pada itu, Eropah kini juga sedang diancam oleh risiko gelombang kedua pandemik, yang mana Sepanyol dan Jerman dilaporkan telah mula mencatatkan peningkatan dalam kes baru Covid-19.

Turut menambah tekanan kepada harga minyak hari ini adalah ketegangan hubungan antara AS dan China yang semakin meruncing.

Menteri Luar China mengesahkan bahawa pihak berkuasa telah mengambil alih konsulat Amerika Syarikat di Chengdu, setelah ia ditutup susulan gesaan daripada Beijing bagi membalas tindakan Washigton yang mengarahkan penutupan konsulat China di Houston minggu lalu.

Walaupun menyusut pada sesi pasaran hari ini, dagangan minyak mentah Brent kini di landasan untuk kenaikan empat bulan berturut-turut pada Julai, sementara WTI pula untuk kenaikan bulan ketiga berturut-turut susulan langkah pemotongan pengeluaran oleh OPEC telah menyokong kestabilan harga.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat