Iman Shoppe – Penerbit Karya Teme Abdullah, Mizi Wahid

1,161

Rakan kongsi boleh menjadi batu loncatan untuk mengembangkan perniagaan dengan cepat dan dalam masa yang sama boleh juga menyebabkan perniagaan kita gulung tikar terutama bila perniagaan semakin berkembang dan mula berselisih pendapat.

Pandangan sama turut dikongsi oleh pengasas kedai buku Iman Shoppe, Dr. Nur Aisyah Zainordin sewaktu ditemuramah oleh wartawan Intraday baru-baru ini.

Iman Shoppe merupakan syarikat penerbitan yang menerbitkan buku penulis-penulis terkenal seperti ‘Teme Abdullah’ dan ‘Mizi Wahid’.

1. Terima kasih kerana sudi menerima kehadiran Intraday ke Iman Shoppe. Terlebih dahulu, boleh kenalkan diri puan dan sedikit latar belakang Iman Shoppe.

Saya menubuhkan Iman Shoppe pada tahun 2012. Sebelum itu saya memulakan perniagaan berbentuk majalah, iaitu Majalah Jom pada 2011. Sewaktu saya pulang ke Malaysia, saya melihat banyak bahan-bahan berbentuk kerohanian yang kurang berkualiti di pasaran pada ketika itu terutamanya untuk golongan muda. Disebabkan itu, saya mengeluarkan Majalah Jom dan apabila kita mahu menjual majalah berkenaan, kita memerlukan satu saluran, maka lahirlah Iman Shoppe. Pada awalnya, kami hanya menjual buku-buku dari Indonesia dan disebabkan bahan-bahan bacaan dari Malaysia yang sesuai diberikan kepada pelanggan kami adalah terlalu sedikit, maka kami menubuhkan Iman Publication pada 2013, yang bertujuan untuk memenuhi keperluan para pelanggan kami.

2. Bagaimana Iman Shoppe mendekati golongan penulis untuk menulis dengan Iman Shoppe?

Pada peringkat awal, kami banyak menerima manuskrip dan kami juga lebih teliti dari sudut buku yang kami terbitkan terutamanya buku-buku berkaitan dakwah dan tarbiah. Namun apabila kami semakin berkembang, pembaca sudah semakin ramai, kami melihat pasaran itu terlalu kecil. Oleh itu, kami mula mencari penulis-penulis yang mempunyai bahan yang menarik tetapi memerlukan pertolongan untuk memasarkan penulisan mereka.

Jadi daripada situ, kami mula berhubung dengan penulis-penulis muda yang kami temui kebanyakannya di media sosial dan mempunyai penulisan mereka tersendiri di blog. Kami pelawa mereka menulis untuk Iman Shoppe. Antara penulis terawal di Iman Shoppe seperti Budak Tomato dan Teme Abdullah. Mereka yang membawa Iman Shoppe ke peringkat seterusnya. Selepas itu, penulis-penulis baharu atau muda yang sudah ada pengikut dan penulisan mereka tersendiri mula menulis dengan kami.

 

3. Bagaimana dengan penerimaan produk Iman Shoppe pada peringkat awal sehingga ke hari ini. Adakah jualan ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terjejas?

Awalnya kami berkembang secara organik dan mempunyai sasaran pelanggan yang memerlukan bahan-bahan bacaan berbentuk tarbiah dan dakwah. Pelanggan kami kemudiannya berkongsi mengenai Iman Shoppe kepada rakan-rakan dan saudara-mara mereka. Namun untuk kami keluar daripada lingkungan kumpulan terbabit, seperti yang saya sebutkan awal tadi, kami mendekati penulis-penulis yang mempunyai pengikut tersendiri dan ramai pengikut mereka mula mengenali dan membaca buku-buku Iman Shoppe.

Iman Shoppe mula melabur kepada pemasaran secara serius sejak tiga tahun lepas. Tahun ini, perbelanjaan pemasaran kami lebih besar berbanding sebelum ini. Sebelum ini, kami banyak mendekati pelanggan, menyediakan lebih banyak kandungan dan mula melihat keperluan mereka. Dari situ, kami cuba memenuhi keperluan pembaca. Kami juga mendapat sokongan berbentuk pemasaran daripada para penulis kami, sekali gus membantu perkembangan Iman Shoppe.

Ketika musim PKP, penjualan kami meningkat sebanyak 3%  berbanding tahun lalu pada tempoh yang sama. Apabila Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ditangguhkan, satu tamparan yang hebat buat kami, menyebabkan kami terpaksa menukar strategi perniagaan. Kami menjual buku secara dalam talian sepenuhnya. Dalam tempoh 2-3 bulan semasa fasa PKP, kami terus menerbitkan buku, menjual buku dan strategi itu berjaya. Kakitangan kami begitu gigih membuat promosi serta aktiviti pemasaran, ternyata pengorbanan kami berbaloi.

4. Berapa cawangan Iman Shopee telah dibuka di Malaysia?

Kami memang ada satu kedai sahaja.Saluran perniagaan kami bukan sahaja tertumpu pada kedai buku sahaja tetapi juga secara dalam talian terutamanya e-commerce kerana itu sumber pendapatan utama kami. Kami juga pasarkan buku-buku kami ke seluruh Malaysia.

5. Apakah cabaran awal ketika memulakan perniagaan ini?

Cabaran paling awal dalam memulakan perniagaan ini adalah cabaran kepada diri sendiri. Saya maksudkan mengenai ‘kejahilan’ dan ‘kebodohan’ diri sendiri. Saya tidak pandai menguruskan perniagaan, tidak pandai pilih rakan kongsi dan tidak tahu apa yang patut ditumpukan terlebih dahulu. Kita tidak tahu sama ada patut fokus kepada pembaca atau produk. Saya rasa itu adalah kesilapan yang biasa dilakukan oleh sesiapa sahaja yang bergelar usahawan.

Perkara yang bagus apabila kita memulakan bisnes, kita dekatkan diri dengan mereka yang berani menegur dan menasihati kita. Syukur kerana saya ditemukan dengan rakan kongsi yang menasihati saya untuk lebih serius dalam perniagaan dan perlu berguru atau ada mentor. Dari situ, kami belajar menguruskan perniagaan dengan betul dan tahu mengenai fokus kami.

Perkara pertama dalam membangunkan sesebuah bisnes adalah orangnya, bukan duit atau kedai yang cantik tetapi mereka yang berada di dalam organisasi tersebut. Mereka itu yang akan membangunkan sesuatu bisnes berkenaan. Daripada situ, kami mula sedar mengenai formula untuk menjayakan bisnes itu. Barulah kami merekrut mereka yang sesuai dengan organisasi ini. Perkara paling sukar adalah kami terpaksa melepaskan mereka yang pernah bersama kami dahulu atas faktor kesukaran mereka bergerak seiring dengan kepantasan kami untuk maju ke hadapan.

6. Apakah perancangan pada masa depan Iman Shoppe? Ada perancangan memasarkan buku ke luar negara?

Kami mahu menjadi sebuah syarikat media yang mempunyai pelbagai saluran untuk menyampaikan kandungan yang menarik. Misi kami adalah mementingkan kandungan yang baik. Kami juga bukan sahaja akan menyampaikan kandungan yang menarik melalui buku tetapi juga menerusi audio dan video. Dalam tempoh 3 hingga 5 tahun, kami akan fokus kepada penerbitan dan penjualan buku terlebih dahulu serta merancang untuk mengembangkan saluran e-commerce. Sekiranya ekonomi sudah pulih, kami akan fokus kepada bidang ‘retail’ yang sesuai dengan sasaran pasaran kami.

Kami sebelum ini pernah memasuki pesta buku di Frankfurt, Jerman. Buku-buku kami diterima baik di Singapura, Indonesia dan Brunei buat masa ini. Untuk memasarkan buku di negara Barat, kami perlu memilih kandungan penceritaan yang bersifat lokal.

 

7. Apakah yang membuatkan Iman Shopee berbeza daripada kedai-kedai buku yang lain?

Kita fokus kepada pelanggan kami, mempunyai kumpulan sasaran dan betul-betul kenal pelanggan yang datang kedai kami serta memenuhi keperluan mereka.

Kami tahu mereka yang datang ke kedai adalah untuk mencari bahan-bahan untuk membina diri mereka dan keluarga mereka. Dari masa ke semasa, kami akan menambahkan produk-produk yang sesuai.

Bagi mereka yang mencari buku-buku berbentuk kerohanian, ibadah, kanak-kanak, boleh datang ke kedai kami. Ada impian untuk menembusi pasaran lebih besar tetapi kami berhati-hati ke arah itu kerana tidak mahu terburu-buru kerana sekarang ini banyak kedai buku yang gulung tikar.

8. Seperti kita sedia maklum, tidak ramai yang mahu membaca buku sekarang, ada perancangan ke arah digital sepenuhnya?

Kami memang ada memasarkan e-book menerusi Google Play dan Amazon. Penerimaannya sangat memberangsangkan terutamanya waktu PKP dan kenaikannya adalah 1000-2000%. Sebelum itu, penerimaan orang ramai terhadap e-book sangat sedikit.

Rakyat Malaysia masih suka membaca secara fizikal. Rakyat Malaysia juga suka membaca kandungan secara digital, sama ada menerusi laman web, artikel, media sosial tetapi rakyat Malaysia masih lagi suka memegang buku. Berbeza dengan masyarakat di luar negara yang mempunyai kemudahan peranti untuk membaca seperti Kindle.

Sewaktu kami memasarkan buku ke Barat, kami juga memasarkan untuk pasaran peranti Kindle namun terpaksa bersaing dengan buku-buku dari sana yang mempunyai lebih 1 juta pilihan buku dalam Kindle. Di Malaysia, hanya 4-5% sahaja rakyat Malaysia yang membaca e-book.

9. Siapakah tulang belakang di sebalik kejayaan Iman Shoppe?

Tulang belakang saya adalah pasukan Iman Shoppe sendiri. Perniagaan ini tidak boleh berjaya disebabkan seorang sahaja tanpa ada kumpulan yang menyokongnya. Jika hanya bergantung kepada seseorang sahaja, memang tidak akan berjaya sampai bila-bila.

Rakan kongsi saya, Fatin Syamimy Badaruddin banyak membantu dan bersama-sama saya dalam menguruskan Iman Shoppe. Barisan pengurus dan eksekutif kami tahu mengenai misi dan impian kami. Kami menjadikan mereka rasa Iman Shoppe seumpama syarikat mereka sendiri, supaya mereka letakkan sepenuh hati untuk bersama-sama membangunkan  Iman Shoppe. Syarikat ini bukan milik saya dan Fatin Syamimy sahaja tetapi juga milik mereka. Obsesi mereka terhadap syarikat ini merupakan tunjang kejayaan Iman Shoppe.

10. Nasihat kepada usahawan baharu yang hendak memulakan perniagaan atau masih teragak-agak untuk menceburi bidang perniagaan

Bagi saya, bila kita nak memulakan sesuatu tidak kira perniagaan atau apa sahaja, kadang-kala kita perlu mencuba dahulu. Lakukan sahaja dan memang kena belajar dari kesilapan. Sebab saya pun kerja makan gaji dan kita memang ada rasa berhati-hati dalam membuat apa jua pilihan. Berniaga ini penuh risiko terutamanya risiko untuk rugi. Tetapi kalau kita membaca kisah para usahawan ini, mereka sentiasa mempunyai pelan sokongan dan apabila mereka mencuba buat kali kelima, keenam, barulah bisnes itu berjaya. Bagi saya, kejayaan seseorang usahawan itu bergantung kepada konsistensi beliau untuk mencapai apa yang dia mahukan. Apabila kita ada visi dan misi yang jelas, konsistensi itu juga penting.

Jangan buat bisnes seorang diri kerana ia akan memakan diri. Mencari rakan kongsi yang tepat itu penting dan saya nampak tidak ramai yang memberi nasihat mengenai mencari rakan kongsi ini. Mencari rakan kongsi yang tepat adalah susah sebenarnya sebab kita mahu mencari seseorang yang boleh susah bersama-sama di peringkat awal dan juga menguruskan wang. Tidak ramai yang berjaya melepasi kedua-dua perkara ini. Banyak partnership yang terganggu apabila bisnes mereka berjaya terutamanya dalam menguruskan pembahagian wang. Rezeki yang sangat besar apabila anda menemukan rakan kongsi yang benar-benar mahu bersama anda.

11. Puan ada menyebut tentang ‘finding the right partner’, pernah berselisih faham dengan rakan kongsi sepanjang menjalankan perniagaan ini?

Kalau tidak bergaduh, maknanya palsulah partnership itu. Bergaduh ini membantu kita mengenali satu sama lain dan perkara paling penting, adalah kita menegur satu sama lain. Saya nampak apabila ada perniagaan yang melibatkan suami isteri, ada isteri susah hendak menegur suami.

Apabila mempunyai rakan kongsi, dia melengkapi apa yang kita tidak ada. Rakan kongsi saya sangat teliti orangnya dan bijak menguruskan operasi syarikat. Kami mempunyai personaliti yang berbeza, maka kami juga mempunyai pendapat yang berbeza. Seterusnya cabaran paling besar adalah menguruskan perbezaan itu. Kami juga tahu peranan masing-masing dan kami juga tahu apabila salah seorang menegur, teguran itu untuk kebaikan syarikat dan bukannya berbentuk peribadi. Saya pernah mempunyai beberapa rakan kongsi sebelum ini tetapi gagal. Bagi saya, kejayaan utama adalah mencari rakan kongsi yang tepat.

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat