Buka Bengkel Kayu, Jana RM16K Seminggu!

1,213

Bermula daripada permintaan isteri yang mahukan sebuah rak untuk meletakkan pasu dan berkongsi rekaan rak itu di laman Facebook, tercetus idea tiga orang sahabat untuk memulakan bisnes pertukangan kayu yang dikenali sebagai Kawood sejak hampir 5 bulan lalu.

Tiga sahabat berkenaan iaitu Abdul Razak Abdul Latif, Noor Adzrene Mohd Noor dan Mohamad Hafiz Johari sebelum ini pernah berkhidmat sebagai jurugambar di salah sebuah syarikat akhbar Melayu namun nasib mereka tidak baik apabila diberhentikan secara tiba-tiba selepas syarikat tersebut diisytiharkan bankrap pada Oktober tahun lalu.

Selepas peristiwa itu, mereka bertiga bergelut untuk mencari sesuap rezeki dan sanggup melakukan pelbagai pekerjaan ekoran kesukaran mendapatkan pekerjaan baharu, ditambah dengan penularan wabak Covid-19.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), tercetus idea mereka bertiga untuk memulakan bisnes Kawood selepas isteri kepada Mohamad Hafiz meminta beliau untuk membuat sebuah rak kayu bagi meletakkan pasu-pasu pokok di rumahnya.

Mohamad Hafiz kemudiannya berkongsi rekaan rak tersebut di laman Facebook. Beliau sendiri tidak menyangka gambar tersebut menjadi perhatian dan ramai yang meminta beliau membuat rak terbabit untuk mereka.

Kawood mula menerima banyak tempahan selepas salah seorang pelanggan memuat naik gambar rak rekaan Mohamad Hafiz di media sosial dan dari situ, mereka mulai serius untuk menjadikan bisnes pertukangan kayu sebagai sumber pendapatan utama mereka.

“Kami pernah memperoleh pendapatan sebanyak RM13,000 hingga RM16,000 seminggu kerana ketika itu, kami menerima banyak tempahan daripada peminat tanaman pokok di rumah sewaktu PKPP baru-baru ini,” kata Abdul Razak ketika ditemuramah di bengkel Kawood baru-baru ini.

Ujar Abdul Razak, cabaran paling besar ketika menjalankan perniagaan sendiri berbanding sewaktu bekerja sebagai jurugambar adalah mereka perlu menetapkan sasaran tertentu setiap minggu atau bulan demi memastikan operasi perniagaan terus berjalan. Mereka turut berdepan pengalaman pahit apabila rekaan mereka iaitu Ara Planter Shelf ditiru oleh orang lain namun dijual dengan kualiti yang lebih rendah berbanding Kawood.

“Kami dapatkan bekalan kayu daripada beberapa pembekal tetapi kayu yang kami gunakan adalah jenis pinewood. Kami menjaga kualiti kayu dan kesemua kayu yang digunakan adalah jenis baharu,” jelas Abdul Razak.

Menurut Abdul Razak lagi, harga rak yang paling mahal dijual oleh Kawood adalah RM279 namun beliau berkata, kesemua harga produk di Kawood adalah berpatutan dan mampu dimiliki oleh semua orang.

Ketika ditanya mengenai sasaran Kawood pada masa akan datang, Abdul Razak mahu membuka sebuah kilang dan membeli pelbagai mesin bagi membantu mereka untuk menghasilkan lebih banyak produk. Selain itu, kami juga mahu membuka sebuah bilik pameran di seluruh Malaysia supaya memudahkan orang ramai melihat dengan lebih dekat kesemua produk yang mereka jual.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat