Terlalu Banyak Ketidaktentuan Dalam Pasaran Minyak Mentah Global

59

Sentimen terkini dalam pasaran minyak mentah global memberi sedikit kelegaan kepada harga komoditi ini yang berada di bawah tekanan sejak beberapa bulan lalu.

Data terbaru inventori minyak mentah US yang dikeluarkan oleh EIA (Energy Information Administration) mencatatkan pengurangan sehingga 2.5 juta berbanding jangkaan pengurangan hanya 1.2 juta tong minggu lalu. Pengurangan stok ini juga lebih banyak daripada yang dicatat minggu lalu.

Data API yang dikeluarkan semalam pula mencatat kejatuhan inventori sebanyak 2.7 juta.

Harga minyak WTI dan Brent-oil melonjak selepas data ini dikeluarkan sebentar tadi, namun menjunam semula setakat pukul 11 malam. Setakat ini harga minyak WTI didagang tidak jauh daripada paras pembukaan harga hari ini di paras $43.44 setong. Manakala minyak Brent didagang di sekitar $46.0 setong.

Pasaran akan terus meneliti perkembangan sentimen yang bermain dalam pasaran ini di mana terdapat ura-ura bahawa OPEC akan memotong bekalan minyak yang lebih banyak daripada jumlah semasa 1.8 juta tong sehari.

OPEC dan non-OPEC telah berusaha mengimbangi bekalan penawaran dalam pasaran yang meningkat khususnya dari Amerika dengan perjanjian pemotongan bekalan selama enam bulan bermula pada Januari. Namun, ia masih dilihat belum cukup untuk membawa harga stabil ke paras $50 setong. Oleh itu, OPEC melanjutkan pemotongan dengan jumlah sama sehingga sembilan bulan yang bermula pada Jun 2017 dan berakhir pada Mac 2018.

Hal ini masih dilihat belum mencukupi untuk membawa harga ke atas semula dengan harga terus menjunam sejak awal Jun. Terbaru menteri minyak Arab Saudi Al-Falih berkata akan mempertimbangkan untuk menambah jumlah pemotongan, namun perlu menunggu sedikit masa lagi untuk membiarkan harga lebih stabil.

Berikutan komen oleh Al-Falih, tiga daripada delegasi OPEC dilaporkan membantah cadangan beliau dan ini telah menunjukkan harga sekali lagi berada di bawah tekanan setakat pukul 11.17 malam pada Rabu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat