Sejak Tether dilaporkan akan berhadapan dengan tindakan undang-undang oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) DOJ, boleh dikatakan pelabur kripto mula tidak senang duduk.
Lebih menggusarkan keadaan, Tether menjadi topik panas dalam pertemuan tertutup antara pasukan pemantau yang diketuai oleh Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen dengan Kumpulan Kerja Presiden bagi Pasaran Kewangan baru-baru ini.
Apa yang menjadi perhatian mereka ialah mengenai dakwaan Tether dikatakan memiliki sejumlah kertas perdagangan. Kertas perdagangan atau kertas komersial (commercial paper) ialah instrumen hutang jangka pendek atau tidak selamat yang diterbitkan oleh sesebuah perniagaan atau korporat.
Mereka menyamakan situasi tersebut sama dengan dana bersama pasaran wang tidak terkawal, yang mana mungkin akan terjejas akibat kekacauan dalam kalangan pelabur.
Pada masa yang sama, Pemangku Pengawal Matawang, Michael Hsu mendedahkan pihak penyelia sedang meneliti kertas perdagangan Tether bagi memastikan jika USDT benar-benar disokong oleh dolar AS.
Ini mengingatkan kepada denda yang perlu dibayar oleh Tether dan Bitfinex, berjumlah $18.5 juta pada Februari kerana isu berkaitan kerugian dan penipuan.
Sama seperti yang diharapkan oleh pengerusi Federal Reserves Jerome Powell, Yellen juga mahu stablecoins dikenakan undang-undang dan rangka kerja perundangan mula diwujudkan.
Pertemuan itu juga membahaskan isu berkaitan koin digital Facebook, Diem. Mereka mendapati Diem tampil sebagai ancaman baharu melibatkan penggunaannya dalam kalangan pengguna Facebook. Buat masa sekarang, platform media sosial itu mencatatkan 3 bilion pengguna aktif bulanan.
Terbaru pada Selasa, Senator Elizabeth Warren telah meminta untuk Yellen perkenalkan undang-undang yang lebih ketat terhadap sektor kripto.