Ulasan Penetapan Kadar Bank Negara, Risiko Kenaikan Harga Domestik Menjadi Fokus BNM

81

Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan polisi monetari semasa pada Khamis dengan kadar polisi tidak diubah yang menepati jangkaan pasaran. Pengekalan ini berikutan kebergantungan ekonomi kepada permintaan domestik dengan risiko kenaikan harga yang disebabkan tekanan kenaikan harga minyak mentah global.

BNM mengekalkan kadarnya (Kadar Dasar Semalaman, OPR) di paras 3.0% dalam mesyuarat kedua bank pusat tahun ini. Kali terakhir BNM menurunkan kadar adalah pada Julai 2016 di mana kadar OPR diturunkan dari 3.25%.

BNM dalam kenyataannya menyatakan, “Ekonomi pada 2017 diunjurkan berkembang pada kadar yang pantas sedikit. Namun masih ada risiko kepada pertumbuhan global yang berpuca daripada perlindungan perdagangan, perkembangan geopolitik, naik-turun pasaran kewangan, dan risiko harga komoditi utama.”

Persekitaran ekonomi global tidak dinafikan terus mencabar, tetapi ekonomi Malaysia merekodkan pertumbuhan 4.2% pada tahun 2016. Ia banyak disokong oleh peningkatan aktiviti dalam sektor swasta dna juga eksport bersih yang kembali meningkat.

Bank Negara meramalkan inflasi akan meningkat lebih tinggi pada tahun 2017 yang disebabkan oleh kenaikan harga minyak mentah global yang seterusnya memberi tekanan kepada kenaikan harga runcit minyak petrol dan diesel.

Apa yang membimbangkan adalah kenaikan harga runcit minyak petrol dan diesel ini juga akan memberi tekanan kepada kenaikan harga barangan asas seperti makanan. Hal ini sebenarnya akan menjadikan penduduk agak berhati-hati dalam perbelanjaan yang mana akan mengurangkan perbelanjaan isirumah di Malaysia.

Kurangnya perbelanjaan penduduk yang disebabkan peningkatan harga secara keseluruhan akan memberi risiko pertumbuhan ekonomi yang rendah yang akan memberi tekanan kepada sektor swasta.

Namun BNM mengatakan, “Kadar inflasi keseluruhan dalam negeri yang diunjurkan akan bergantung pada tren masa hadapan harga minyak global yang masih tidak menentu. Inflasi yang didorong oleh kos ini dijangka tidak akan memberikan kesan yang ketara kepada tren harga yang lebih meluas, memandangkan keadaan permintaan dalam negeri yang stabil.”

Pada kadar semasa OPR, pendirian dasar monetari Bank Negara adalah akomodatif dan menyokong aktiviti ekonomi. Pihak BNM dalam kenyataannya mengatakan, akan terus meneliti risiko kepada pertumbuhan domestik dan inflasi dalam negara.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat