Matawang kripto XRP terus suram, mencatat penyusutan lebih 30% dalam 24 jam. Lebih parah apabila Securities and Exchange Commission (SEC) menyaman Ripple turut megundang gelombang merah ke seluruh pasaran altcoins.
XRP telah dijual dan diedarkan secara individu, kepada para pelabur dan institusi. Cuma saham syiling tersebut terkunci dalam escrow yang merupakan tanggungjawab Ripple sendiri.
Walau apa pun silap pengasas Ripple, Brad Garlinghouse dan Christian Larsen hingga menyebabkan kedua-duanya disaman, XRP menanggung akibatnya.
Ketika ini, penjualan aset akan menyebabkan kesan yang lebih teruk ketika lambakan platform pertukaran mula menyahsenaraikan XRP. Malah, ia memberi kesan kepada seluruh industri kripto di mana para pelabur mula mempertimbangkan pegangan XRP untuk Bitcoin (BTC) dan Bitcoin Cash (BCH).
Persoalannya, sejauh mana kesannya kepada nilai XRP?
Memandangkan penyusutannya disebabkan oleh pentadbiran yang lebih ‘berkuasa’ terhadap aset berpusat, tidak seperti Bitcoin dan Ethereum sebagai aset tidak berpusat, ini memudahkan untuk SEC dan mana-mana organisasi untuk melenyapkan Ripple.
Pada masa yang sama tindakan kerajaan Amerika Syarikat (AS) telah meletakkan had pergerakan BTC yang mencatat trend bullish sejak beberapa minggu lalu.
Ada dua kesan besar yang mungkin akan berlaku apabila undang-undang dirombak secara mendadak:
Pertama, akan lebih banyak modal altcoin ditarik keluar dari syiling seperti XRP dan beralih kepada Bitcoin, menyebabkan raja kripto itu terus menuju ke bulan.
Kedua, sentimen altcoin yang negatif seperti yang berlaku pada 2019, boleh jadi akan menyebabkan BTC kembali dengan bearish.