Platform pertukaran kripto, Coinbase umumkan sekatan pengaksesan terhadap lebih 25,000 wallet milik pemilik Rusia yang dipercayai terlibat dengan kegiatan haram.
Difahamkan sekatan tersebut diambil selepas siasatan dijalankan dan ia menerima sokongan daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Coinbase juga telah menyemak permohonan akaun daripada beberapa entiti dan individu yang disekat, termasuk mereka yang berada di AS, United Kingdom (UK), Kesatuan Eropah (EU), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Singapura, Kanada, dan Jepun.
Adakah ini bermakna Coinbase telah membuat u-turn selepas mendakwa tidak akan terlibat dengan pelaksanaan sekatan pengaksesan di Rusia, kecuali jika kerajaan AS mengeluarkan arahan sedemikian?
Jawapannya, TIDAK. Coinbase sama sekali tidak akan menyekat penduduk Rusia untuk mengakses platform mereka melainkan ada beberapa entiti yang perlu disekat, berdasarkan perintah daripada pihak berkuasa AS.
Pada masa yang sama, CEO Coinbase, Brian Armstrong mengambil peluang ini menjelaskan isu penggunaan mata wang kripto oleh Rusia untuk elakkan sekatan perkhidmatan kewangan seperti yang dilaksanakan oleh Mastercard, Visa, dan PayPal, termasuk penyah 7 bank Rusia dari SWIFT.
“Pihak kami tidak jangkakan ada potensi untuk kerajaan Rusia gunakan kripto untuk elak sekatan. Kripto adalah sebuah lejar terbuka; dan cubaan untuk memasukkan sejumlah wang yang banyak melalui kripto lebih mudah dijejak berbanding menggunakan tunai, emas, atau aset lain.”