XAU/USD susut ke sekitar $4,000 pada sejak hujung minggu lepas apabila logam berharga itu terus berada berhampiran paras psikologi tersebut selepas merosot 14% pada suku kedua, sekali gus mencatat prestasi suku tahunan terburuk sejak 2013.
Pada jam 9.15 pagi, harga emas didagangkan pada paras $4,008 iaitu turun 0.20% sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Ketegangan yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran telah mendorong kenaikan harga minyak dunia. Keadaan ini meningkatkan kebimbangan terhadap inflasi walaupun data inflasi pengguna dan pengeluar AS sebelum ini menunjukkan tanda-tanda perlahan.
Kenaikan harga minyak dijangka menyukarkan usaha menurunkan inflasi, sekali gus mengukuhkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengekalkan kadar faedah tinggi untuk tempoh lebih lama.
Persekitaran kadar faedah yang tinggi biasanya mengurangkan daya tarikan emas kerana logam itu tidak menawarkan pulangan faedah.
Menurut CME FedWatch Tool, pasaran kini meletakkan kebarangkalian sekitar 61.4% bahawa Fed akan menaikkan kadar faedah pada mesyuarat September.
Dalam perkembangan geopolitik, AS dilaporkan melancarkan malam kesembilan serangan terhadap Iran. Washington menyatakan serangan udara pada Ahad bertujuan sebagai tindak balas terhadap kematian anggota tentera AS pertama sejak konflik baharu tercetus dengan Iran.
Pada masa sama, pegawai Iran memaklumkan bahawa gencatan senjata antara Washington dan Tehran kini dianggap terbatal. Perkembangan itu meningkatkan risiko gangguan terhadap laluan bekalan tenaga utama di rantau Timur Tengah.
Sementara itu, siren serangan udara dilaporkan berbunyi di Bahrain selepas Iran melancarkan gelombang baharu peluru berpandu balistik dan dron yang menyasarkan beberapa lokasi di Bahrain, Jordan, Kuwait dan Iraq.
Konflik yang semakin berpanjangan dijangka terus menjadi pemacu utama pergerakan pasaran global, termasuk harga emas dalam tempoh terdekat.























































