Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Aset emas dilihat melantun semula di atas paras $4,550 selepas mengalami kejatuhan melampau sejak awal Mac iaitu prestasi mingguan terburuk sejak 1983.
Pada jam 9 pagi, harga emas berada pada paras $4,556 iaitu positif 1.82% sejak ia dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.
Bloomberg melaporkan pada Selasa bahawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi bayangan bahawa Iran telah menawarkan ‘hadiah’ sebagai isyarat niat baik dalam rundingan yang didakwa sedang berlangsung bagi menamatkan konflik selama 25 hari.
Konflik tersebut terus memberi tekanan kepada pasaran global, walaupun Washington pada masa sama meningkatkan penempatan tenteranya di Timur Tengah.
Perkembangan ini hadir ketika penasihat kanan ketenteraan Iran, Mohsen Rezaei, menegaskan bahawa peperangan tidak akan dihentikan selagi Iran tidak menerima pampasan penuh terhadap kerosakan yang dialami.
Kenyataan ini mencerminkan bahawa rundingan masih jauh daripada mencapai penyelesaian, sekali gus mengekalkan tahap ketidakpastian geopolitik yang tinggi.
Dalam persekitaran ini, permintaan terhadap emas sebagai aset selamat berpotensi meningkat dalam jangka masa terdekat. Ketegangan berterusan di Timur Tengah lazimnya mendorong pelabur beralih kepada aset lindung nilai bagi melindungi nilai portfolio daripada risiko pasaran.
Namun begitu, kesan konflik terhadap harga tenaga turut memainkan peranan penting. Peningkatan harga minyak boleh mengekalkan tekanan inflasi global, sekali gus mengurangkan jangkaan terhadap pemotongan kadar faedah oleh Fed AS.
Senario kadar faedah yang lebih tinggi ini cenderung menyokong permintaan terhadap bon kerajaan, yang menawarkan pulangan tetap.
Keadaan tersebut secara tidak langsung memberi tekanan kepada emas, yang tidak menawarkan sebarang hasil. Peralihan minat pelabur kepada instrumen berpendapatan tetap boleh mengehadkan potensi kenaikan logam berharga itu, walaupun risiko geopolitik masih kekal tinggi dalam pasaran global.




















































