Harga emas (XAU/USD) meningkat hampir 2% pada hari Rabu walaupun Dolar AS kekal kukuh dan hasil bon Perbendaharaan AS berada pada paras tinggi. Kenaikan itu disokong oleh permintaan terhadap aset selamat selepas data ekonomi Amerika Syarikat (AS) menunjukkan prestasi yang bercampur-campur.
Pada jam 9.15 pagi, harga emas didagangkan pada paras $4,063 iaitu naik 0.80% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Sentimen berhati-hati dalam pasaran turut mengukuhkan harga emas. Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Kevin Warsh, sekali lagi menegaskan komitmen bank pusat untuk mengekang inflasi sehingga kembali ke sasaran 2%, sambil menyatakan pasaran buruh AS masih berada dalam keadaan stabil.
Pada masa sama, Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.18% kepada 101.35, manakala hasil bon Perbendaharaan AS 10 tahun kekal sekitar 4.465%.
Kebiasaannya, kenaikan dolar dan hasil bon memberi tekanan kepada emas, namun permintaan terhadap aset selamat berjaya mengatasi faktor tersebut.
Data ekonomi AS pula memberikan gambaran bercampur. Perubahan Pekerjaan ADP bagi Jun hanya mencatatkan 98,000 pekerjaan baharu, lebih rendah daripada jangkaan 113,000 dan bacaan Mei sebanyak 122,000.
Dalam perkembangan lain, jumlah pemberhentian pekerja yang direkodkan oleh Challenger merosot 53% kepada 45,849, menunjukkan kadar pengurangan tenaga kerja semakin perlahan.
Sementara itu, PMI Pembuatan ISM susut kepada 53.3 pada Jun berbanding jangkaan 54. Walaupun aktiviti pembuatan perlahan, Indeks Harga Dibayar turut menurun kepada 73 daripada 82.1, memberi petunjuk tekanan inflasi dalam sektor tersebut semakin reda.
Dari sudut geopolitik, premium risiko emas sedikit berkurangan selepas AS dan Iran menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU). Rundingan di Doha, Qatar juga disambung semula dengan fokus terhadap pengurusan Selat Hormuz dan rundingan selama 60 hari berkaitan program nuklear Iran.
Kini, perhatian pasaran tertumpu kepada laporan Non-Farm Payroll (NFP) AS yang akan diumumkan pada Khamis.
Pasaran menjangkakan ekonomi AS menambah sekitar 110,000 pekerjaan baharu, manakala kadar pengangguran dijangka kekal pada 4.3%. Data ini berpotensi menjadi pemacu utama hala tuju harga emas dalam tempoh terdekat.

























































