Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Semua penjawat awam Gred 15 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 yang akan dibayar pada 13 Mac ini.
Menurut kenyataan di Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam, bantuan tersebut bertujuan membantu penjawat awam membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri.
BKK turut dipanjangkan kepada pesara kerajaan, veteran berpencen dan veteran tidak berpencen dengan bayaran sebanyak RM250.
Pembayaran bantuan ini akan ditanggung oleh jabatan tempat pegawai berkhidmat pada tarikh bayaran dibuat. Selain itu, BKK dikecualikan daripada cukai pendapatan selaras dengan peruntukan di bawah Subseksyen 127(3A) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Untuk rekod, pemberian BKK ini diumumkan oleh Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober lalu.



























































