CEO Ripple, Brad Garlinghouse, percaya bahawa XRP mempunyai potensi besar untuk digunakan dalam sistem pembayaran institusi yang mengendalikan transaksi bernilai kira-kira $16 trilion setahun.
Ketika artikel ini ditulis, harga XRP berada di paras $1.0478 iaitu positif 0.10% sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Dalam temu bual bersama CNBC pada 26 Jun, Garlinghouse menjelaskan bahawa Ripple kini mengendalikan perniagaan berkaitan pembayaran dan penyelesaian transaksi (clearing) hasil beberapa pengambilalihan syarikat sebelum ini.
Secara keseluruhan, perniagaan tersebut memproses transaksi bernilai sekitar AS$16 trilion setiap tahun.
Namun begitu, beliau mendedahkan bahawa penggunaan aset digital seperti XRP dalam jumlah transaksi tersebut masih hampir sifar.
Menurutnya, keadaan itu sebenarnya membuka peluang yang sangat besar untuk membawa sistem pembayaran tradisional ke dalam teknologi blockchain.
Garlinghouse menjelaskan bahawa XRP direka untuk membantu institusi kewangan menjalankan transaksi rentas sempadan dengan lebih pantas, lebih murah dan lebih cekap berbanding sistem pembayaran konvensional.
Beliau turut menyatakan bahawa permintaan terhadap penyelesaian pembayaran berasaskan blockchain semakin meningkat dalam kalangan institusi kewangan.
Menurut Ripple, syarikat itu kini bukan sekadar menyediakan rangkaian pembayaran, malah turut memperluaskan perniagaan melalui pengambilalihan syarikat yang menawarkan perkhidmatan seperti penyimpanan aset digital (custody), broker dan penyelesaian kewangan perusahaan.
Semua perkhidmatan ini disepadukan bagi membina ekosistem pembayaran digital yang lebih lengkap untuk bank dan syarikat besar.
Jika lebih banyak institusi mula menggunakan blockchain dalam operasi harian mereka, penggunaan XRP berpotensi meningkat dengan ketara pada masa hadapan.























































