Harga Bitcoin kembali menjadi tumpuan selepas gagal mengekalkan momentum di atas paras $60,000.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin berada di paras $59,394 iaitu positif 0.19% sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Walaupun tekanan jualan masih membelenggu pasaran, penganalisis melihat peluang pemulihan kekal terbuka selagi aset digital terbesar dunia itu mampu mempertahankan zon sokongan penting antara $58,000 hingga $60,000.
Sepanjang Jun, Bitcoin mencatatkan pergerakan yang tidak menentu apabila melonjak daripada bawah $60,000 ke sekitar $64,000 hasil pembelian agresif oleh pelabur institusi dan syarikat korporat.
Namun, sentimen positif itu tidak bertahan lama apabila kebimbangan terhadap kadar faedah Amerika Syarikat yang dijangka kekal tinggi serta aliran keluar dana daripada ETF Bitcoin kembali menekan harga.
Walaupun begitu, penganalisis berpandangan pasaran masih belum memasuki fasa penurunan yang serius.
Ini kerana tekanan jualan gagal menembusi kawasan sokongan sekitar $58,000, sekali gus menunjukkan terdapat permintaan yang kukuh daripada pelabur institusi yang terus menyerap bekalan Bitcoin pada harga lebih rendah.
Buat masa ini, Bitcoin dilihat berada dalam fasa penyatuan harga atau consolidation selepas melalui gelombang pembubaran posisi yang besar pada penghujung Jun.
Fasa ini lazimnya berlaku sebelum pasaran menentukan hala tuju baharu sama ada meneruskan kenaikan atau kembali menyambung penurunan.
Dari sudut teknikal, paras $58,000 kekal menjadi benteng utama yang perlu dipertahankan.
Sekiranya sokongan ini berjaya dikekalkan, peluang untuk Bitcoin kembali menguji paras lebih tinggi akan terus terbuka.
Sebaliknya, kegagalan mempertahankan zon tersebut boleh membuka ruang kepada kejatuhan menuju kawasan psikologi $50,000.
Dalam jangka panjang, prospek Bitcoin masih dilihat positif.
Pegangan oleh institusi terus meningkat apabila ETF Bitcoin Spot, syarikat korporat dan beberapa kerajaan terus menambah pemilikan mereka.
Trend ini menunjukkan keyakinan terhadap Bitcoin sebagai aset simpanan jangka panjang masih kukuh walaupun pasaran berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Hala tuju Bitcoin dalam jangka pendek masih bergantung kepada perkembangan ekonomi global dan dasar monetari Amerika Syarikat.
Namun, selagi zon sokongan utama terus bertahan dan minat institusi kekal kukuh, peluang untuk Bitcoin kembali mencatatkan pemulihan harga masih dianggap cerah.























































