Gergasi sistem pengurusan pangkalan data (database) global, Oracle Corp, mendedahkan bahawa mereka telah mengurangkan seramai 21,000 orang pekerja dalam tempoh 12 bulan yang lalu. Apa yang mengejutkan, sebahagian daripada jawatan tersebut telah digantikan sepenuhnya oleh teknologi kecerdasan buatan (AI).
Dalam laporan kewangan tahunan syarikat yang dikeluarkan pada hari Isnin, Oracle secara terbuka mengakui perkara ini.
“Penggunaan dan pelaksanaan teknologi AI dalam operasi kami telah menyebabkan, dan mungkin akan terus menyebabkan, pengurangan jumlah tenaga kerja kami,” jelas pihak Oracle.
Berikut adalah fakta penting di sebalik pengurangan pekerja berskala besar ini:
1. Jumlah Pekerja Menyusut 13%
Hasil daripada pembuangan pekerja secara besar-besaran ini, jumlah kakitangan sepenuh masa global Oracle kini menyusut kepada 141,000 orang (setakat akhir tahun kewangan 31 Mei), berbanding 162,000 orang pada tahun sebelumnya.
Jumlah tenaga kerja ini kini lebih rendah berbanding waktu sebelum Oracle membeli syarikat rekod kesihatan elektronik, Cerner, pada tahun 2022 dengan nilai $28 bilion.
2. Kos Berbilion Ringgit Untuk ‘Restructuring’
Langkah pemberhentian pekerja ini bukanlah murah. Oracle terpaksa menanggung kos penstrukturan semula (restructuring costs) yang sangat tinggi, mencecah sekitar $1.8 bilion (sekitar RM8.5 bilion). Setakat akhir Mei, Oracle mempunyai kira-kira 49,000 pekerja di AS dan 92,000 pekerja di peringkat antarabangsa.
3. Kenapa Oracle Terdesak Nak ‘Cut’ Pekerja?
Punca utamanya adalah tekanan kewangan. Oracle kini sedang melabur sakan dan mengeluarkan modal yang sangat besar untuk membina pusat data AI (AI data centers) bagi memenuhi permintaan pelanggan gergasi mereka, termasuk OpenAI.
Bagi menampung kos pembinaan infrastruktur AI yang mahal ini dan mengekalkan aliran tunai syarikat, Oracle terpaksa mengorbankan ribuan pekerja mereka awal tahun ini, walaupun jumlah sebenar pemotongan tersebut tidak pernah didedahkan secara rasmi sebelum ini.
Isu ini membuktikan bahawa ancaman AI menggantikan pekerjaan manusia bukan lagi sekadar sembang kosong, teutamanya dalam sektor teknologi. Bagi pelabur saham Oracle (ORCL), langkah penjimatan kos demi pelaburan AI ini mungkin dilihat positif untuk margin keuntungan jangka panjang, tetapi ia memberikan isyarat jelas tentang perubahan landskap pekerjaan masa hadapan.
Korang rasa lepas ni giliran syarikat gergasi mana pula yang akan ganti staf dengan AI?























































