Ringgit dibuka sedikit mengukuh berbanding dolar AS pada Jumaat ketika pelabur terus berhati-hati terhadap pergerakan kapal di Selat Hormuz susulan ketegangan geopolitik yang masih berlanjutan.
Pada jam 10:10 pagi, ringgit berada pada paras RM4.0600 iaitu positif 0.34% sejak ia dibuka pada awal dagangan Jumaat di sesi Asia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit turut menerima sokongan daripada kenyataan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) semalam yang memberi gambaran bahawa ekonomi Malaysia kini berada pada kedudukan yang lebih kukuh.
Menurut beliau, peningkatan ketara dalam eksport barangan elektrik dan elektronik menunjukkan Malaysia sedang mendapat manfaat daripada peningkatan pelaburan global dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi.
Perkembangan ini meningkatkan keyakinan pelabur sekali gus menyokong pengukuhan nilai ringgit.
Pada awal dagangan, ringgit turut mengukuh berbanding beberapa mata wang utama dunia.
Berbanding yen Jepun, ringgit meningkat kepada 2.5080/5140 daripada 2.5091/5120 pada penutupan dagangan Khamis.
Berbanding pound Britain, ringgit mengukuh kepada 5.4618/4745 daripada 5.4654/4714.
Berbanding euro, ringgit turut meningkat kepada 4.6555/6664 daripada 4.6581/6633.
Dalam kalangan mata wang serantau, ringgit turut mencatatkan prestasi lebih baik berbanding dolar Singapura apabila naik kepada 3.1512/1588 daripada 3.1518/1558.
Ringgit juga mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 224.6/225.2 daripada 224.8/225.1.
Bagaimanapun, ringgit sedikit susut berbanding baht Thailand kepada 12.1978/2325 daripada 12.1886/2064, manakala berbanding peso Filipina, nilainya hampir tidak berubah pada 6.61/6.63 berbanding 6.61/6.62 sebelumnya. – Bernama





















































