Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis apabila mata wang dolar melemah selepas penerbitan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat.
Pada jam 10:05 pagi, ringgit berada pada paras RM4.0750 iaitu menyusut 0.02% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Dolar AS (DXY) mencatatkan penurunan selepas minit mesyuarat FOMC menunjukkan pegawai Rizab Persekutuan (Fed) masih berbeza pendapat mengenai hala tuju kadar faedah pada masa hadapan.
Menurut beliau, minit mesyuarat itu memperlihatkan jurang pandangan yang semakin ketara dalam kalangan pegawai Fed, dengan perbincangan tertumpu sama ada untuk mengekalkan kadar faedah pada paras semasa atau menaikkannya.
Beliau berkata, Fed kini tidak lagi mempertimbangkan pemotongan kadar faedah.
Sebaliknya, perdebatan hanya berkisar sama ada kadar faedah perlu dikekalkan atau dinaikkan lagi, sekali gus mencerminkan komitmen bank pusat itu untuk terus mengawal inflasi.
Dr Mohd Afzanizam berkata, beberapa pegawai Fed berpendapat kadar dana persekutuan semasa pada 3.50 peratus hingga 3.75 peratus sudah berada pada tahap yang bersifat menyekat pertumbuhan ekonomi.
Susulan itu, dolar AS menjadi lebih lemah sekali gus memberi ruang kepada mata wang Asia, termasuk ringgit, untuk mengukuh pada dagangan hari ini.
Beliau turut berkata pelabur akan memberi perhatian kepada keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang dijadual diumumkan hari ini.
Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada 2.75 peratus.
Menurutnya, tumpuan utama pasaran bukan sahaja terhadap keputusan OPR, malah penilaian terkini BNM mengenai prospek ekonomi negara dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat di Asia Barat.
Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih lemah berbanding kumpulan mata wang utama dunia.
Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.4554/4648 daripada 5.4369/4435 ketika ditutup pada Rabu.
Mata wang tempatan itu turut lemah berbanding euro kepada 4.6518/6598 daripada 4.6471/6528.
Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5058/5103 daripada 2.5083/5114.
Berbanding mata wang serantau, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih kukuh.
Ringgit meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.1486/1542 daripada 3.1487/1528, serta mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 226.1/226.5 daripada 226.2/226.5.
Namun begitu, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.1691/1959 daripada 12.1685/1882.
Sementara itu, ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina pada paras 6.62/6.64. – Bernama























































