Kevin Warsh kini telah rasmi mengangkat sumpah sebagai Pengerusi Rizab Persekutuan atau Fed yang ke-17 di Rumah Putih. Dalam ucapan sulungnya beliau berjanji akan membawa reformasi besar dengan meninggalkan formula ekonomi lama demi memacu pertumbuhan yang lebih rancak.
Walaupun Presiden Donald Trump secara terbuka menegaskan bahawa pengerusi baharu ini akan bertindak bebas tanpa gangguan politik, pasaran tahu cerita sebaliknya. Trump sebelum ini tidak pernah berselindung tentang impiannya untuk melihat Fed menurunkan kadar faedah dengan kadar segera.
Menanti Misteri Jun
Pakar ekonomi melihat Warsh berkemungkinan besar akan membuang tradisi lama FED seperti unjuran carta titik kadar faedah (FED Dot Plot) ketika mesyuarat FOMC bulan Jun nanti. Langkah ini diambil bagi mengelakkan pertembungan terbuka dengan Trump sekiranya ramalan kadar faedah kelihatan terlalu tegas buat pasaran.
Strategi berdiam diri ini bagaimanapun boleh mengundang padah sekiranya data inflasi perbelanjaan peribadi atau Core PCE yang bakal dilaporkan minggu ini menunjukkan peningkatan mengejut. Situasi panas tersebut boleh mencetuskan pergaduhan dalaman dengan ahli jawatankuasa lain yang mahukan ketegasan dasar kewangan.























































