Pasaran pekerjaan Amerika Syarikat (A.S.) terus memaparkan daya tahan luar biasa apabila tuntutan awal bagi faedah pengangguran negeri susut sebanyak 6,000 kepada 194,000 bagi minggu berakhir 17 Oktober. Berdasarkan laporan Jabatan Tenaga Kerja A.S. pada Khamis, angka terkini ini mengatasi unjuran konsensus ahli ekonomi tinjauan Reuters yang meramalkan 200,000 tuntutan. Penurunan ini meletakkan angka pemberhentian pekerja hampir menyamai rekod terendah 57 tahun iaitu pada paras 189,000 yang dicapai pada pertengahan Julai lalu. Data pada paras ini tidak pernah disaksikan sejak 1969.
Pakar ekonomi menjelaskan bahawa daya tahan pasaran buruh ini disokong oleh keuntungan korporat yang kukuh didorong permintaan domestik yang mampan, sekali gus melindungi tenaga kerja sedia ada daripada gelombang pemberhentian berskala besar. Walau bagaimanapun, pengurus dana dan penganalisis memberi amaran bahawa pengetatan kecairan kewangan serta lonjakan kadar faedah akibat perang A.S.-Israel dengan Iran berisiko menekan pasaran buruh menjelang tahun 2027.
Data tuntutan ini diterbitkan tepat pada tempoh kaji selidik bagi laporan pekerjaan bukan pertanian (nonfarm payrolls) pada bulan Oktober. Pada bulan September, sektor pekerjaan A.S. hanya menambah 29,000 jawatan baharu susulan herotan tarikh Hari Pekerja, menyusut jauh berbanding penambahan 133,000 pada bulan Ogos. Penganalisis mengkategorikan fasa semasa pasaran buruh sebagai fenomena “pengambilan rendah, pemberhentian rendah” (low-hire, low-fire), di mana majikan enggan membuang pekerja sedia ada namun membekukan perjawatan baharu berikutan ketidaktentuan perang dan pelaksanaan tarif import.
Di sebalik penurunan tuntutan awal, bilangan tuntutan berterusan (continuing claims) yang mencerminkan kesukaran pencari kerja mendapat perjawatan baharu meningkat 25,000 kepada 1.728 juta bagi minggu berakhir 10 Oktober. Tempoh median seseorang menganggur turut meningkat kepada 11.5 minggu pada September, menghampiri paras tertinggi dalam tempoh empat tahun setengah. Walaupun kadar pengangguran kekal terkawal pada 4.2%, pasaran buruh disahkan tidak lagi menjadi penjana kepada tekanan inflasi tolakan upah.
Ketiadaan tekanan inflasi daripada pasaran buruh ini memberi ruang kepada Rizab Persekutuan (The Fed) untuk mengelakkan pengetatan monetari yang terburu-buru. Selepas menaikkan kadar faedah semalaman sebanyak 25 mata asas kepada julat 3.75% hingga 4.00% pada September lalu bagi membendung inflasi tenaga, penggubal dasar di Washington dijangka sebulat suara mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat FOMC 27-28 Oktober minggu hadapan sebelum mempertimbangkan kenaikan seterusnya pada Disember.
























































