Pasaran kewangan Eropah digegarkan oleh krisis hutang berdaulat baharu apabila hasil bon penanda aras kerajaan Perancis 10 tahun (OAT) melonjak melepasi ambang psikologi 5.00% pada sesi dagangan hari Rabu. Ini secara tidak langsung mencatatkan paras tertinggi yang tidak pernah disaksikan sejak tahun 2002. Peningkatan kos pinjaman ini didorong oleh kebimbangan mendalam para pelabur terhadap ketidakupayaan Paris menangani defisit belanjawan yang meningkat. Ini berlaku tatkala negara ekonomi kedua terbesar Zon Eropah itu dihimpit oleh perpecahan politik parlimen dan siri krisis domestik yang meruncing.
Beban kewangan Perancis semakin meruncing di bawah pengawasan ketat Kesatuan Eropah (EU) yang kini meletakkan Paris di bawah prosedur defisit berlebihan selepas jurang fiskalnya mencecah 5.1% daripada KDNK pada tahun lalu. Menjelang rundingan belanjawan fiskal 2027, Perdana Menteri Sebastien Lecornu berikrar untuk melaksanakan langkah penjimatan agresif dengan menyasarkan pemotongan perbelanjaan awam sebanyak €54 bilion ($60.6 bilion) bagi merapatkan jurang defisit ke arah sasaran mandat EU iaitu 3.0%.
Walau bagaimanapun, usaha konsolidasi fiskal tersebut berdepan jalan buntu berikutan tentangan sengit daripada Perhimpunan Kebangsaan (National Assembly) yang berbeza pandangan tanpa majoriti mutlak. Bagi mengatasi kebuntuan tersebut, Menteri Kewangan Roland Lescure menegaskan kesediaan kerajaan untuk memintas proses undian parlimen sekali lagi dengan mengaktifkan instrumen perlembagaan kontroversi, Perkara 49.3. Langkah ini memaksakan belanjawan secara unilateral ini mencetuskan risiko kejatuhan kerajaan, dimana ia mengulangi krisis awal tahun apabila Lecornu terpaksa meletakkan jawatan seketika sebelum dilantik semula oleh Presiden Emmanuel Macron.
Situasi bertambah parah apabila krisis fiskal ini disemarakkan oleh gelombang keresahan sosial paling ganas dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Gerakan protes yang bermula daripada demonstrasi pelajar di Paris bulan lalu telah merebak menjadi rusuhan awam dan penjarahan berskala besar sepanjang hujung minggu. Situasi ini telah mengakibatkan kemusnahan infrastruktur awam dan premis perniagaan yang dianggarkan mencecah ratusan juta euro. Ketegangan jalanan ini menyempitkan lagi ruang politik kerajaan untuk memotong subsidi dan perbelanjaan kebajikan.
Ketidaktentuan pasaran hutang Perancis turut diburukkan lagi oleh sentimen spekulasi menjelang pilihan raya presiden pada musim bunga akan datang. Calon pendahulu sayap kanan, Marine Le Pen, berjanji untuk menurunkan defisit negara ke bawah paras 3% dalam tempoh 18 bulan sekiranya menang. Namun begitu cadangan penjimatan beliau diragui oleh penganalisis institusi. Gabungan antara hasil bon melepasi 5%, ancaman kejatuhan kerajaan, dan ketidakstabilan sosial meletakkan Perancis di ambang krisis keyakinan ekonomi yang berisiko merebak ke seluruh pasaran kewangan benua Eropah.

























































