Kim Yo-jong, adik perempuan pemerintah Korea Utara telah menembak kenyataan Menteri Luar Negara Korea Selatan yang mempersoalkan wilayah ditadbir Kim Jong-un mencatatkan sifar kes COVID-19 sejak penularan awal tahun sehingga kini.
Menteri bernama Kang Kyung-wha pada minggu lalu menyatakan rekod kes yang bersih di Korea Utara adalah mustahil sejak kemunculan wabak pada tahun lalu.
Tanpa disangka dakwaan itu mengundang amarah Kim, menyifatkan komen Kang satu tuduhan melulu yang memburukkan lagi hubungan Seoul-Pyongyang yang sudah keruh.
Lebih parah, Kim yang sinonim sebagai pemerintah kedua selepas abangnya melontarkan ugutan berbunyi, “Kami tidak akan melupakan dakwaannya dan dia mungkin akan menerima padah.”
Barisan pakar turut akui adalah mustahil untuk wilayah itu bebas dari jangkitan koronavirus walaupun pihak berkuasa telah mengetatkan sempadan dan menyekat penerbangan antarabangsa pada akhir Januari lalu.
Pandemik COVID-19 telah menjadikan Korea Utara lebih “Korea Utara”, lebih tertutup dan lebih terperinci atas setiap tindakan yang diambil untuk mencegah wabak itu dengan menutup sempadan China dan Rusia, termasuk menghantar pulang barisan diplomat.
Tahun 2020 tidaklah begitu tuah buat Korea Utara kerana wilayah itu berhadapan dengan pelbagai krisis hingga mengundang hiba Kim Jong-un ketika dilanda bencana alam.
Hubungan Korea Selatan-Korea Utara juga turut diuji dengan letupan pejabat di Kaesong dan isu tembakan dan membakar pegawai Korea Selatan sehingga memaksa Jong-un meminta maaf secara umum.