Amerika Syarikat, Mexico Dan Kanada Semakin Hampir Untuk Capai Perjanjian Perdagangan USMCA

215

Pentadbiran Trump dan Demokrat AS dilaporkan semakin hampir untuk mencapai perjanjian yang disemak semula dalam perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada (USMCA), setelah lebih dari satu tahun mengadakan rundingan.

Wakil Perdagangan AS Robert Lighthizer dan Penasihat White House Jared Kushner dilaporkan akan terbang ke Mexico pada hari ini untuk menyertai mesyuarat dalam usaha memuktamadkan perubahan terakhir dalam perjanjian itu yang juga akan disertai oleh Timbalan Perdana Menteri Kanada, Chrystia Freeland.

Penasihat kongres memberitahu bahawa cadangan perjanjian telah diserahkan kepada Speaker Perwakilan AS Nancy Pelosi yang akan membuat keputusan mengenai bila perjanjian USMCA itu akan diundi.

Demokrat dijangka akan mengundi untuk meluluskan perjanjian itu pada 18 Disember ini sekiranya White House menghantar perundangan yang diperlukan kepada Kongres pada 15 Disember untuk memulakan proses kelulusan.

Perjanjian USMCA akan menggantikan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) yang menghapuskan kebanyakan tarif dan halangan dagang lain yang melibatkan tiga negara itu.

NAFTA sebelum ini dikritik dan dikatakan sebagai pembunuh kepada pekerjaan untuk Amerika Syarikat kerana ia menggalakkan kilang-kilang berpindah ke selatan sempadan yang telah memanfaatkan pekerja berpendapatan rendah di Mexico.

Sementara itu, satu pengumuman rasmi mengenai perjanjian tersebut dikatakan mungkin akan diumumkan pada hari ini.

Dagangan dolar Kanada kembali pulih susulan daripada perkembangan dalam perjanjian ini selepas menyusut disebabkan laporan pekerjaan Kanada yang mencatat penurunan daripada yang dijangkakan oleh pasaran untuk memperoleh peningkatan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat