Apa Yang Terjadi Pada USD Susulan Laporan NFP?

684

Pembukaan dagangan awal minggu menyaksikan USD kembali didagangkan positif setelah ditutup dengan kemerosotan pada penghujung minggu setelah laporan pekerjaan NFP menunjukkan pertumbuhan yang perlahan pada Ogos.

Pada Ogos, ekonomi AS telah menambah 1.37 juta pekerjaan iaitu merosot sedikit daripada peningkatan yang direkodkan pada bulan sebelumnya, iaitu 1.73 juta pekerjaan (yang disemak semula lebih rendah).

Walau bagaimanapun, kadar pengangguran merekodkan penurunan mendadak pada 8.4% daripada 10.2% pada Julai, dan jauh lebih baik daripada jangkaan pasaran untuk meningkat 9.8%, sementara kadar penyertaan tenaga buruh meningkat 61.7%.

Berikutan peningkatan dalam kadar penyertaan tenaga buruh, laporan pekerjaan ini dilihat lebih baik memandangkan pasaran tidak menjangkakan peningkatan dalam pertumbuhan upah.

Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan matawang utama diniagakan stabil pada 92.83 pada sesi Asia.

Sementara itu, berita hujung minggu mengenai Perdana Menteri UK Boris Johnson yang memberi amaran kepada Kesatuan Eropah (EU) dengan menetapkan tarikh akhir rundingan perdagangan adalah sehingga 15 Oktober, telah menekan dagangan matawang pound sterling.

Pembukaan harga pada sesi Asia pagi ini menyaksikan perbezaan (gap) pada carta GBP/USD yang dibuka lebih rendah berbanding harga ditutup minggu lalu menyusuli laporan tersebut.

Bukan itu sahaja, malah PM Johnson dikatakan sedang merancang langkah baru, iaitu dengan memperkenalkan undang-undang untuk mengubah beberapa isi perjanjian Brexit yang dibuat tahun lalu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat