Bajet 2023 Dirangka Khas Untuk Kebajikan Rakyat Sepenuhnya – Ismail Sabri

194

‘Pilihan raya nak dekat ni, rakyat mesti perhati semua perkara yang dibentangkan dalam bajet.’

Pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan keluar pada Oktober akan menyentuh setiap segmen masyarakat dalam menyediakan rakyat Malaysia menempuhi cabaran ekonomi dunia yang lebih ‘kelam’ tahun depan.

Usul tersebut dinyatakan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memastikan kebajikan Keluarga Malaysia terjamin dalam mengharungi kemungkinan krisis ekonomi global yang lebih mencabar pada tahun depan.

Umumnya, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menerusi Pengarah Urusan Kristalina Georgieva sebelum ini mengatakan baki 2022 dan 2023 akan lebih mencabar dengan terdapat kemungkinan kemelesetan yang semakin menghampiri.

Secara keseluruhan, Georgieva mengunjurkan prospek ekonomi ‘sangat tidak menentu’ dengan situasi inflasi terus memuncak, kenaikan kadar yang agresif dan dasar pengetatan monetari bank-bank pusat.

Atas faktor tersebut, Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan kepentingan mengurus belanjawan 2023 secara teratur dan meliputi segala aspek termasuk membincangkannya dengan beberapa pihak lain.

Jelas beliau perbincangan akan diadakan bersama semua pihak seperti persatuan, komuniti perniagaan, petani dan penternak termasuk parti Pembangkang pada minggu depan.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Ismail Sabri menzahirkan keyakinan bahawa pihak pembangkang akan memberi sokongan penuh berdasarkan Memorandum Persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan politik yang ditandatangani sebelum ini.

Sebagai konteks, MOU yang dimeterai September lalu berfokuskan kestabilan dan dimensi baru kepada politik negara.

Intipatinya, tiada tarikh tamat ditetapkan dan kerajaan serta pembangkang telah bersetuju untuk bekerjasama sehingga Perdana Menteri termasuk Parlimen dibubarkan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat