Bekas Pengerusi Fed Beri Amaran Perang Dagang AS-China Belum Berakhir!

278

Bekas Pengerusi Federal Reserve (Fed) Amerika Syarikat, Janet Yellen dalam ucapannya di Asian Financial Forum, Hong Kong pada Isnin, memberi amaran bahawa perang dagang antara A.S dan China masih belum berakhir disebabkan oleh pertikaian isu teknologi masih tidak dapat diselesaikan.

Yellen mengakui bahawa ketegangan telah merosot setelah kedua-dua pihak mencapai kesepakatan bersama. Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa kebanyakan barangan China masih dipengaruhi oleh tarif A.S yang tinggi dan tiada perubahan harga ketara dapat dilihat.

Di bawah terma perjanjian, tarif sehingga 25% terhadap $370 bilion barangan China yang meliputi kira-kira dua pertiga daripada eksport Beijing ke A.S akan tetap dilaksanakan.

Selain itu, China dan A.S dikatakan tidak akan dapat membetulkan isu jangka panjang yang boleh memberi kesan signifikan kepada ekonomi global dengan menandatangani perjanjian perdagangan fasa 1 mereka.

Isu jangka panjang seperti pertikaian mengenai subsidi kepada syarikat milik negara, persaingan dalam kecerdasan buatan dan teknologi 5G yang mencetuskan isu pertahanan kebangsaan dan kebimbangan keselamatan dilihat agak sukar untuk ditangani.

Jika dua ekonomi gergasi ini masih tidak dapat mencapai kesepakatan, Yellen berkata kadar kemajuan teknologi akan perlahan dan dunia akan terbahagi kepada dua pihak yang bersaing menerusi teknologi.

Pertikaian mengenai syarikat teknologi komunikasi terbesar China, Huawei masih menjadi isu utama antara dua negara itu.

Terbaru, A.S telah menghantar pegawainya ke Britain untuk menghalang penggunaan teknologi Huawei dalam rangkaian 5G di UK atas sebab akan menimbulkan risiko keselamatan bagi negara itu.

Bukan sahaja di UK, malah Amerika Syarikat juga turut menyeru beberapa negara lain seperti Jerman untuk tidak menggunakan teknologi Huawei dalam rangkaian 5G mereka.

Anda mungkin juga berminat