BOE Tepuk Dahi! Inflasi UK Degil Tak Nak Turun

317

Bank of England (BOE) tampaknya masih gagal dalam perjuangannya memerangi inflasi selepas data terbaru yang diterbitkan menunjukkan tekanan harga di UK masih tinggi.

Pejabat Perangkaan Nasional (ONS) melaporkan indeks harga pengguna (CPI) tahunan UK meningkat kepada 10.1% pada September sekali gus menyaksikannya melonjak semula ke puncak tertinggi 40 tahun.

Angka yang direkodkan juga tersasar daripada jangkaan untuk peningkatan 10%, dan meningkat daripada bacaan sebelumnya pada Ogos iaitu 9.9%.

Inflasi teras (tidak masuk harga tenaga dan makanan) pula dilaporkan bertambah kepada 6.5% tahun ke tahun daripada 6.3% yang dicatatkan bulan sebelumnya.

Pemacu utama kepada kenaikan ini adalah harga makanan dan minuman bukan alkohol yang mencatatkan lonjakan terbesarnya sejak April 1980 sebanyak 14.5%.

Kenaikan harga roti, bijirin, daging dan produk tenusu dikatakan telah mendorong harga makanan lebih tinggi pada bulan lalu.

Bacaan data terbaharu ini secara tidak langsung dilihat akan meningkatkan lagi tekanan buat BOE yang berusaha untuk menyelamatkan ekonomi UK daripada inflasi yang semakin berakar umbi.

Gabenor Andrew Bailey baru-baru ini memberi isyarat bahawa bank pusat itu mungkin mempertimbangkan kenaikan kadar lebih besar pada mesyuarat akan datang.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat