BOJ Kekalkan Dasar Monetari Tidak Berubah

205

Pendirian dasar monetari Bank of Japan (BOJ) tidak berubah apabila ia mengekalkan kadar faedah di tahap terendah -0.10% dan sasaran hasil bon 10 tahun pada 0% ketika mesyuarat polisi bagi bulan September.

BOJ menyemak semula penilaian semasanya, dengan mengatakan ekonomi telah mulai meningkat apabila aktiviti disambung semula secara beransur-ansur. Bank pusat itu juga mengatakan ekonomi luar negara juga telah meningkat dan membantu mendorong peningkatan pengeluaran domestik dan eksport.

Namun, dengan pandemik yang berterusan memberi impak kepada seluruh dunia, pemulihan dalam ekonomi Jepun dijangka bertumbuh pada kadar yang sederhana.

Dalam pada itu, penggunaan juga dilihat beransur-ansur mempamerkan peningkatan. Bagaimanapun, indeks harga pengguna (CPI) dikatakan akan berada pada tahap negatif untuk sementara waktu setelah dijejaskan oleh kejatuhan harga minyak dunia baru-baru ini.

Berikutan daripada penguncupan terbesar yang dialami Jepun pada suku kedua tahun ini, ia telah menguatkan jangkaan inflasi akan tetap jauh di bawah sasaran 2% bank pusat untuk beberapa tahun akan datang.

Susulan keputusan mesyuarat BOJ, safe-haven yen diniagakan menguat berbanding kebanyakan matawang utama, kecuali US dolar.

Pasaran kini menantikan ucapan Gabenor BOJ, Haruhiko Kuroda mengenai bagaimana bank pusat akan bekerjasama dengan Perdana Menteri baru, Yoshihide Suga untuk menyokong ekonomi.

Suga, yang terpilih untuk menggantikan jawatan Shinzo Abe pada Rabu, sebelum ini memberi indikasi bahawa beliau tidak memerlukan perubahan segera dalam dasar BOJ yang telah membantu kestabilan pasaran kewangan ketika krisis pandemik Covid-19 melanda.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat