Donald Trump Bakal Jadi Presiden Amerika Syarikat Ketiga Yang Dipecat

2,354

Dewan Perwakilan Amerika Syarikat hari ini mengundi untuk memecat Presiden Donald Trump, menjadikannya sebagai presiden AS ketiga dalam sejarah yang mungkin dipecat atas kesalahan yang dilakukannya.

Setelah menyaksikan sesi perdebatan berlangsung selama 8 jam antara Parti Demokrat dan Republik, ahli dewan mengundi 230-197 untuk meluluskan artikel pertama mengenai penyalahgunaan kuasa kerana Trump didapati menahan bantuan keselamatan kepada Ukraine untuk memaksa negara itu membuka siasatan ke atas pesaing politiknya Joe Biden.

Berdasarkan kandungan artikel itu, Trump dikatakan telah menunjukkan bahawa beliau akan tetap menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan perlembagaan sekiranya terus dibenarkan untuk memegang jawatan itu.

Sementara satu lagi artikel menerima undian 229-198 yang menuduh Trump menghalang Kongres kerana enggan bekerjasama dalam siasatan yang dilakukan ke atasnya, dengan melarang pegawai atau saksi untuk memberi keterangan dan turut menyimpan bukti dokumen.

Kedua-dua artikel yang diluluskan itu kemudiannya akan diserahkan kepada Senat AS dan Trump kini berdepan dengan perbicaraan di peringkat Senat pada Januari depan untuk menentukan sama ada beliau akan disingkirkan daripada pejabatnya.

Bagaimanapun, terdapat jangkaan bahawa beliau akan dibebaskan daripada pertuduhan itu kerana di peringkat Senat, secara majoritinya ia dipegang oleh parti beliau iaitu Parti Republik. Bagi menjatuhkan hukuman ke atas Trump, 2/3 undian diperlukan daripada 100 orang yang hadir di dewan itu.

Ketika berucap pada perhimpunan di Michigan, Trump menyelar tindakan Demokrat dengan menuduhnya mempunyai agenda pendakwaan yang murahan, manakala White House pula mengeluarkan kenyataan bahawa proses pemecatan itu adalah palsu dan ia merupakan satu episod politik paling memalukan dalam sejarah negara.

Selepas pengundian dijalankan, Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi berkata ia adalah hari yang penting untuk Perlembagaan Amerika Syarikat dan juga hari yang menyedihkan bagi negara itu akibat tindakan melulu Presiden.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat