Amerika Syarikat (AS) melabelkan Institut Confucius (CI) sebagai satu misi propaganda kerajaan China.
Lapor BBC, CI yang menawarkan program bahasa dan kebudayaan di luar negara, dikawal atau dimiliki sepenuhnya oleh Beijing.
Susulan itu, kakitangan CI akan diminta untuk mendaftar dan mematuhi sekatan sama yang dikenakan terhadap kakitangan kedutaan asing.
Menurut Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dalam satu kenyataan sebagai berkata, CI merupakan entiti yang menggerakkan propaganda global Beijing dan menyebarkan pengaruh tidak baik dalam kawasan kampus dan kelas terhadap rakyat Amerika.
Ujar Pompeo, AS mahu memastikan pelajar AS yang mempelajari bahasa dan kebudayaan China, bebas daripada manipulasi Parti Komunis China dan proksinya.
Sebelum ini, CI memaklumkan mereka adalah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang bertujuan mempromosikan bahasa dan kebudayaan China.
Bagi kebanyakan pelajar Amerika, CI menjadi platform berguna untuk mempelajari bahasa China tetapi para pengkritik menyatakan CI hanyalah indah khabar dari rupa.
CI didakwa memberi tekanan kepada sesetengah universiti untuk menapis ucapan-ucapan yang disifatkan amat sensitif kepada politik Beijing.
Kenyataan Pompeo itu dijangka mengeruhkan lagi ketegangan yang sedia memuncak antara AS dan China.